Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya turut mengadakan Sambutan Ilal Hijrah 1445 yang berlangsung di Dewan Serba guna, KHEDN, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir pada majlis anjuran Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) itu ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEDN, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC), NDMC yang terdiri daripada ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Brunei dan Muara, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan Sukarelawan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Agama Dipelihara, Negara Sejahtera’ yang disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Pegawai Perkembangan Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Muskirsman Safari bin Haji Mustafa.


