Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di dalamnya tidak ketinggalan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj dengan majlis sambutan yang dikelolakan oleh Jabatan Penjara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Tingkat 6, Bangunan KHEDN itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Wadar 659 Awang Emirul bin Haji Kamis, diikuti dengan ceramah khas bertajuk Ibrah Peristiwa Israk dan Mikraj: Jaga Solat yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Najib bin Haji Awang.
Ceramah antara lain menyentuh mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan mukjizat dan anugerah yang agung dihadiahkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW, apabila menerima perintah kewajipan sembahyang lima waktu dan pentingnya untuk menjaga solat agar Allah SWT menjaga kita dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan seterusnya menunaikan sembahyang Fardu Asar berjemaah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN.