Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEDN tinjau kawasan banjir

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan DDMC dan Jab. Daerah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Pedalaman Daerah Belait mengalami kenaikan semula air banjir akibat hujan lebat yang turun beberapa hari kebelakangan ini.

    Sehubungan itu, rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) diketuai Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud telah mengadakan tinjauan ke kawasan yang terjejas, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Belait, disini, turut hadir semasa tinjauan itu ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hasan dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi.

    Sebelum meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir, rombongan berkenaan telah mendengar ucapan ringkas daripada Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait dan diteruskan dengan taklimat ringkas daripada Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Awang Noor Aflan bin Awang Kachi selaku incident commander mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.

    Semasa tinjauan, rombongan telah melawat sebanyak lima check point bagi lokasi perkhidmatan pengangkutan penduduk kampung yang terjejas iaitu check point 1 di tempat letak kereta Dewan Sungai Mau (Jalan Labi), check point 2 di tempat letak kereta Taman Riadah Luagan Lalak (Jalan Labi), check point 3 di Jambatan Sungai Kagu, Jalan Merangking, check point 4 di Jalan Merangking berhampiran simpang 1366 dan check point 6 di Sungai Petai.

    Awang Mohd Amir Hairil melawat salah satu check point semasa tinjauan ke kawasan yang terjejas banjir di Daerah Belait baru-baru ini.
    Rombangan KHEDN semasa mengunjungi kawasan yang terjejas pada lawatan berkenaan.
    Kereta rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengharungi jalan dibanjiri air ketika mengadakan tinjauan di kawasan pedalaman Belait. Hujan lebat dalam beberapa hari kebelakangan ini mengakibatkan beberapa kawasan di sana banjir. – Gambar serahan DDMC dan Jabatan Daerah Belait

    Manakala itu, laporan banjir yang diterima sejak 11 November lalu hingga 16 November, telah menjejaskan beberapa kawasan di Daerah Belait iaitu di Kampung Sungai Mau, Jalan Laid Lakang, Jalan Kandul, Jalan Singap, Kampung Merangking Hilir, Kampung Sukang, Jalan Labi (kawasan Beluhur dan kawasan Sungai Petai) dan Kampung Bukit Puan.

    Sebanyak 19 buah rumah dan 109 orang penduduk kampung yan terjejas di Mukim Bukit Sawat, sembilan buah rumah dan 40 orang penghuni di Mukim Sukang dan sebanyak 12 buah rumah yang terjejas di Kampung Bukit Puan hingga ke Sungai Petai.

    Jawatankuasa DDMC Belait telah membuat beberapa tindakan menghadapi banjir dengan memantau paras air setiap hari melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B, Cawangan Belait.

    Sementara itu, pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) juga telah mengedarkan bantuan catuan makanan kepada penduduk kampung yang terjejas bermula 11 November lalu dan pihak Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei juga membantu di dalam membekalkan keperluan-keperluan logistik seperti perahu/temuai untuk kegunaan operasi dan pengangkutan orang kampung yang terjejas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda