Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN) meraikan ulang tahun ke-40 penubuhannya dengan mengadakan acara MFA Day bagi memperingati penubuhan kementerian berkenaan pada 1984, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC), hari ini.
Berkenan berangkat merasmikan acara tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di KHELN.
Acara dimulakan dengan upacara memotong reben, diikuti dengan lawatan ke Pameran Foto KHELN. Pameran yang dibukakan kepada orang ramai itu memaparkan sejarah penubuhan kementerian serta pencapaian penting yang diraih sepanjang empat dekad yang lalu.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna turut berkenan menghadiri pembukaan sesi Model United Nations (MUN), yang merupakan simulasi persidangan dengan melibatkan pelajar dari 21 buah sekolah-sekolah kerajaan di Negara Brunei Darussalam serta wakil belia dari beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Simulasi persidangan MUN berkenaan bertujuan untuk memberikan peserta pengalaman praktikal dan pemahaman yang mendalam mengenai mekanisme dan prosedur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, para pelajar juga menyertai program MFA Talk, di mana beberapa diplomat Negara Brunei Darussalam berkongsi pengalaman dan kemahiran masing-masing bagi menggalakkan pemahaman yang lebih komprehensif tentang diplomasi, khususnya dalam konteks dasar luar Negara Brunei Darussalam.
Acara MFA Day turut menyediakan petak maklumat yang dibukakan kepada orang ramai, bagi memperkenalkan kerja-kerja yang dijalankan oleh setiap jabatan di KHELN, serta memberikan maklumat tentang peluang yang tersedia melalui kerjasama dua hala, termasuk program-program biasiswa.
Pameran Foto KHELN akan dibukakan kepada orang ramai pada 27, 28 dan 30 November di ICC, Berakas.