Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU anjur acara ‘Memaknai Keberajaan’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Bagi meraikan dan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan acara ‘Memaknai Keberajaan’ bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pagi tadi.

    Ceramah khas dalam acara tersebut disampaikan oleh Tetamu Kehormat iaitu Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang kemudiannya turut menyampaikan Hemat-Hemat Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama – Memaknai Keberajaan.

    Antara objektif majlis ini diadakan adalah sebagai tanda semangat patriotik dan menzahirkan kecintaan rakyat terhadap raja yang dikasihi di samping meningkatkan pengetahuan dalam kalangan masyarakat tentang keberajaan dengan kepimpinan.

    Profesor Madya Dr. Abdul Nasir semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku Pengerusi Bersama, disusuli dengan tayangan video klip lagu Daulat Mahkota, kemudiannya sesi soal jawab dan diakhiri dengan tayangan video klip lagu Ajaib.

    Salah satu pengisian dalam acara itu bersama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin.

    Hadir sama di majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; serta Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir, pegawai-pegawai kanan, para pegawai, pensyarah, guru dan kakitangan di bawah KHEU. Juga memeriahkan, para pegawai dan kakitangan dari kementerian-kementerian serta mahasiswa dan mahasiswi dari institusi-institusi pendidikan tinggi dan juga Kumpulan Belia dan Beliawanis Program Keugamaan Belia di negara ini.

    Adalah diharapkan dengan acara seumpama ini akan dapat menyuntik semangat patriotik dan menyemai rasa cintakan Raja dan tanah air melalui aktiviti kenegaraan serta membangun minda dan meningkatkan nilai-nilai hidup bermasyarakat, beragama dan bernegara khususnya bagi warga KHEU dan warga perkhidmatan awam amnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda