Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Di samping menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam di negara ini khususnya di peringkat Kementerian, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin telah menghadiri Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok pagi tadi.
Majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam suasana muhibah dan saling bermaaf-maafan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Awang Mohd Amin bin Haji Salim.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan lagi dengan kunjungan Yang Berhormat Menteri dan Datin serta rombongan mengunjungi dan beramah mesra bersama warga KHEU di setiap reruai dan menikmati juadah yang disediakan.
Acara kemuncak majlis pada hari tersebut ialah pengumuman dan penyampaian hadiah bagi reruai tercantik yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis berkenaan merupakan salah satu kegiatan sosial berkebajikan warga KHEU bagi mengeratkan lagi ukhuwah yang mesra dan harmoni sesama warga kementerian serta pihak-pihak yang berkepentingan.
Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Isteri, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) dan isteri, Awang Misle bin Haji Abd Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) dan isteri, Haji Shamshol bin Haji Omar.
Juga turut hadir adalah para ketua jabatan, pegawai kanan dan kakitangan di bawah KHEU serta golongan mualaf, belia dan beliawanis Masjid dan Muslimah Masjid.
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JHEM