Tuesday, February 25, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU anjur majlis semarak sempena sambutan HK-41

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Majlis Semarak Hari Kebangsaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41 bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pagi tadi.

    Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin turut hadir ke majlis berkenaan.

    Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan KHEU.

    Tujuan majlis diadakan adalah untuk sama-sama meraikan dan menyemarakkan Hari Kebangsaan ke-41 di kalangan warga KHEU di samping mengeratkan kerjasama dan integriti warga kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan beramai-ramai dan seterusnya diserikan dengan bacaan dan tafsiran ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Bersama Majlis, Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, yang menyatakan, “Sebagai sebuah negara yang bertunjangkan konsep Melayu Islam Beraja (MIB), sambutan hari kebangsaan bukan sekadar peringatan terhadap kemerdekaan yang kita nikmati, malah ia menjadi satu wadah untuk kita memperkukuhkan jati diri sebagai rakyat yang beriman, bertaqwa, sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan raja serta meningkatkan kesejahteraan negara.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Beliau juga menyentuh mengenai peranan agama sebagai paksi dalam memupuk semangat kebangsaan melalui pegangan kepada nilai-nilai Islam yang luhur dan murni dapat membentuk masyarakat berakhlak, berilmu, dan berkualiti tinggi.

    Majlis turut dimeriahkan dengan sesi bual bicara bertajuk Peranan Sistem Beraja Dalam Mempertahankan Islam; Dari Perspektif Sejarah yang dibincangkan oleh Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, dan Profesor, Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail. Manakala Awang Haji Mohd Jaya bin Haji Metussin selaku moderator.

    Sesi bual bicara yang turut diadakan semasa majlis berkenaan.

    Dalam sesi berkenaan, Dr Haji Muhammad Hadi antara lain menyatakan bahawa perlunya bersyukur di kalangan masyarakat atas nikmat 41 tahun kemerdekaan dan juga kepentingan untuk menjaganya sebagai warisan dan amanah yang harus dipertahankan.

    Sementara Profesor Dr Haji Awang Asbol pula mengetengahkan tentang peranan Sultan-Sultan Brunei yang terdahulu dalam mempertahankan Ugama Islam di Negara Brunei Darussalam seperti Sultan Sharif Ali yang meneruskan syariat Rasulullah SAW dengan mendirikan masjid, mewariskan panji-panji Negara Brunei Darussalam dan perkembangan Ugama Islam.

    Acara diteruskan dengan persembahan Hadrah oleh pelajar-pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kemudiannya, bacaan Doa Khas Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025.

    Majlis pagi tadi juga dimeriahkan dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB, para pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sekolah-sekolah Arab serta para pegawai dan kakitangan di bawah KHEU. Selain itu, belia-belia masjid dan ahli Program Keugamaan Belia, KHEU serta institusi-institusi pengajian tinggi yang lain turut sama hadir.

    Semua di atas: Antara yang hadir ke majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis berkenaan dikendalikan secara bersama oleh KUPU SB, Jabatan Pentadbiran, Bahagian Dasar dan Strategik, Jabatan Pengajian Islam, dan Bahagian Pendakwa Syarie, KHEU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda