Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU anjur Malam Munajat di Masjid Hassanal Bolkiah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) malam tadi telah diadakan secara fizikal sempena Nisfu Syaaban dengan tumpuan utama di Masjid Hassanal Bolkiah, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri.

    Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah itu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin sebanyak tiga kali dengan memohon ke hadrat Allah SWT agar dipanjangkan umur dengan beramal ibadat kepadaNya dan memohon agar dijauhkan daripada bala bencana serta memohon agar dimurahkan rezeki yang halal lagi berkat.

    Bacaan Surah Yasin pertama dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Awang Irma Mohammad Hazmie bin Haji Matussin dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin kedua dipimpin oleh Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim yang merupakan mahasiswa Tahun 3, ITQSHHB, manakala itu, bacaan ketiga dipimpin oleh Awang Ahmad Darwish bin Hamdan, pelajar Tahun 11, ITQSHHB.

    Seterusnya, Doa Munajat dan Nisfu Syaaban dibacakan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir semasa acara berkenaan. – GABAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Mengakhiri majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pengiran Mohd Sallehin bin Pengiran Haji Tejuddin.

    Nisfu adalah perkataan Arab yang bermaksud pertengahan dan Malam Nisfu Syaban merupakan salah satu malam yang penuh berkat, rahmat dan dimakbulkan doa-doa.

    Dengan banyak kelebihan dan keberkatan yang terdapat pada Nisfu Syaaban, umat Islam digalakkan untuk menghidupkannya dengan memperbanyakkan amal ibadah dan zikir untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

    Hadir sama pada Majlis Malam Munajat bersempena Nisfu Syaaban itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta para pegawai kanan KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Turut menyemarakkan majlis ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah Masjid Hassanal Bolkiah dan dari masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda