Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Menjadi orang yang bertakwa kepada Allah SWT akan sentiasa diberikan jalan keluar dari apa jua masalah dan kesukaran dalam hidup ini.
Antara cara untuk menjadi orang yang bertakwa itu adalah menjaga kesempurnaan ibadah sembahyang, membaca Al-Quran dan memahaminya serta mengamalkan isi kandungannya, bersyukur atas nikmat yang diberi, dan sentiasa memohon doa ke hadrat Allah SWT.
Perkara itu antara yang disampaikan dalam tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Muhammad Nazir bin Haji Othman dari Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh bagi menyerikan lagi program munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-125 secara dalam talian, malam tadi.
Hadir dalam program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara turut mengundang tetamu khas, Ketua 1 ASTERAWANI, Profesor Ampuan Dr Haji Ibrahim bin Ampuan Haji Tengah yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku.
Mengimarahkan acara ialah ahli-ahli ASTERAWANI, tenaga pengajar dari Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Kampung Bengkurong, ahli-ahli Persatuan Mualaf Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, ahli-ahli jawatankuasa takmir serta jemaah dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat dari seluruh negara berjumlah 69 buah.
Turut menyerikan acara ialah warga kerja di bawah KHEU bersama keluarga dari kediaman masing-masing.
Malam Munajat mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.


