Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Pelbagai acara dan persembahan pentas telah dianjurkan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 tahun.
Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Persembahan Pentas Perayaan Bercorak Keagamaan di kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri serta turut hadir adalah ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan KHEU.
Persembahan berkenaan bertujuan untuk memupuk kecintaan terhadap agama dan raja, khususnya dalam kalangan generasi muda, melalui pendekatan seni Islam seperti nasyid, tausyeh, hadrah, syair dan puisi Islam selain mengimarahkan seni persembahan Islam sebagai wadah dakwah dan pendidikan rohani dalam suasana perayaan.
Di samping itu, acara yang diadakan turut menggalakkan penyertaan para pelajar dan guru dalam aktiviti bercorak keagamaan yang membina sahsiah serta menyumbang kepada pembangunan modal insan berakhlak mulia.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Haji Abd Razak bin Haji Mohd Daud.
Antara pengisian persembahan ialah nasyid Arab oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, nasyid oleh Sekolah Ugama Lambak Kanan, Menambang syair dan deklamasi sajak Dirgahayu Raja Payung Mahkota oleh gabungan pelajar Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Hadrah oleh Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam dan diakhiri dengan tausyeh oleh guru-guru ugama sekolah-sekolah umum.
Selain persembahan, orang ramai yang hadir turut berpeluang menyertai kuiz interaktif yang diselang-selikan sepanjang acara berlangsung menjadikan malam penuh pengisian itu lebih bermakna dan bermanfaat.
Semua di atas: Antara suasana semasa persembahan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENGAJIAN ISLAM