Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi telah menyerahkan sumbangan derma kepada seramai 15 orang anak yatim warga kementerian berkenaan pada majlis yang berlangsung Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU, Jalan Dewan Majlis.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan derma ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Haji Shamsol bin Haji Omar.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Haji Hendra bin Haji Meraji.
Majlis seterusnya diikuti dengan bacaan tahlil dipimpin oleh Penolong Pegawai Agama, Jabatan Urusan Haji, KHEU, Haji Muhammad Izzuddin bin Haji Abdul Rani.
Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian derma anak-anak yatim dan bantuan ihsan kepada para penerima.
Dengan pelaksanaan majlis itu, ia sememangnya bertujuan untuk meringankan beban mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba di samping meraih keberkatan di mana segala amal kebajikan serta sedekah dikurniakan dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah SWT.