Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU kendali majlis ibadah korban

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Majlis ibadah korban merupakan wadah penting dalam menghayati sirah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan mengambil iktibar terhadap ketaatan Baginda dalam menjunjung perintah Allah SWT.

    Bagi memperkukuh nilai pengorbanan dan semangat ukhuwah serta memperkembangkan syiar Islam terutama masyarakat Islam di luar bandar di samping meluahkan tanda kesyukuran atas limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hambaNya, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi mengendalikan Majlis Ibadah Korban KHEU Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.

    Majlis diadakan di Dewan Serbaguna Persatuan Saudara-saudara Baharu Daerah Tutong (PESATU), Kampung Tanjong Panjang, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong.

    Hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri, Datin Norazimah binti Haji Ramlee; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, yang juga selaku Ketua Kampung Sengkarai dan Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub juga selaku Penghulu Mukim Ukong; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyertai aktiviti bergotong-royong melapah daging ibadah korban bersama ahli-ahli PESATU serta masyarakat setempat. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyaksikan aktiviti memasak daging korban. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa mengagihkan daging korban kepada penerima. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Hadir sama, Penghulu Mukim Tanjong Maya, Awang Mohd Azaman Shah bin Haji Sahari; Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Awang Nur Azmil bin Haji Ismail dan Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar, Haji Masri bin Haji Abdullah; ketua-ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai dan kakitangan di bawah KHEU.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Lubok Pulau, Daerah Tutong, Awang Muhammad Muiz Izzuddin bin Pauji.

    Pada majlis tersebut, dua ekor lembu dan seekor kerbau dikorbankan. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan jemputan khas menyertai aktiviti bergotong-royong melapah daging ibadah korban bersama ahli-ahli PESATU serta masyarakat setempat.

    Sebanyak 81 orang asnaf fakir miskin dan 157 orang asnaf mualaf menerima agihan daging korban pada tahun ini. Daging korban sunat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu satu pertiga daripada daging korban sunat disedekahkan kepada fakir miskin; satu pertiga untuk umat Islam; dan satu pertiga untuk orang yang berkorban.

    Majlis berkenaan merupakan kesempatan kepada warga KHEU untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan menyantuni asnaf fakir miskin dan mualaf di Daerah Tutong yang secara tidak langsung mengeratkan lagi silaturahim dengan para penerima daging ibadah korban, penduduk-penduduk di Mukim Tanjong Maya dan sekitarnya serta ahli-ahli PESATU.

    Majlis diakhiri dengan Doa Selamat, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Muhammad Muiz Izzuddin.

    Majlis ibadah korban KHEU tahun ini dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS; Bahagian Dasar dan Strategik; dan Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan di bawah KHEU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda