Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara telah diadakan di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; timbalan-timbalan setiausaha tetap, Haji Harun bin Haji Junid dan Awang Roslan bin Haji Taja’ah, para pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU.
Majlis yang dikendalikan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin.

Kemudian, bacaan Takhtim dibawakan oleh pegawai-pegawai Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, ahli-ahli jawatankuasa takmir dan pegawai-pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU.
Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Pegawai Masjid Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Mudim Haji Abdul Latif bin Haji Saman. Selepas itu Dikir Marhaban dipimpin oleh pegawai-pegawai Masjid Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Doa Allah Pelihara Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Pegawai Masjid Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mat Jaya bin Ibrahim.