Monday, March 10, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU komited dalam memperkasa sistem pendidikan agama

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dalam Ulasan Menteri mengongsikan Belanjawan Tahun 2025/2026 yang diperuntukkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi perbelanjaan biasa sebanyak $278,601,600 sementara bagi Perbelanjaan Kemajuan sebanyak $10,836,153 dengan Harga Rancangan RKN ke-12 adalah sebanyak $191,369,155.
     
    Dengan peruntukan yang disokong itu, KHEU akan dapat meneruskan pelaksanaan amanah iaitu perkhidmatan agama bagi pengukuhan penghayatan beragama dalam kalangan masyarakat di negara ini dengan visi Memperkasa Perkhidmatan Agama Yang Berkualiti dan Berinovatif dan misi Mengetarakan Urus Tadbir Perkhidmatan Agama Secara Berkesan dan Berinovasi Bagi Pembangunan dan Kesejahteraan Negara.
     
    Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan Ulasan Menteri di Sesi Perbahasan Peringkat Dasar, Rang Undang-Undang (2025) Perbekalan 2025/2026 dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan pada Persidangan hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
     
    Beliau seterusnya menjelaskan, ia dilaksanakan melalui lima teras strategik yang mendukung Wawasan Brunei 2035 iaitu Pemerkasaan Pendidikan Agama dan Arab Berkualiti (Peneraju Bersama Pendidikan), Penyampaian Perkhidmatan Yang Cekap dan Berinovatif, dan Dakwah dan Kesejahteraan Sosial Yang Inklusif.
     
    Selain itu, strategik seterusnya ialah Keutuhan Modal Insan Yang Mampan; dan Penerokaan Peluang Pembangunan Ekonomi Yang Dinamik.
     
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan Ulasan Menteri di Sesi Perbahasan Peringkat Dasar, Rang Undang-Undang (2025) Perbekalan 2025/2026 dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan pada Persidangan hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 MMN. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Menyentuh mengenai bidang pendidikan, Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa komited dalam memperkasa sistem pendidikan agama di negara ini yang mana sebahagian besar daripada jumlah peruntukan tahunan adalah bagi bidang pendidikan agama.
     
    Ia meliputi persekolahan rendah dan menengah agama dan Arab, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQHHB), dan Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), serta meliputi juga perbelanjaan bagi pelajar dan mahasiswa yang dikurniakan biasiswa penuh belajar di peringkat ‘A’ di sekolah menengah terpilih di dalam negara, di pusat-pusat pengajian tinggi di Mesir, Jordan, Malaysia dan United Kingdom (UK).
     
    Berkaitan dengan Pengintegrasian Mata Pelajaran Agama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum bagi murid-murid berumur lima hingga 10 tahun, tambahnya, KHEU mendukung penuh pelaksanaan tersebut dan turut berperanan secara langsung melalui jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
     
    Beliau turut menambah, peranan KHEU ke arah itu adalah menerusi persekolahan agama dan Arab dan ITQHHB. Setakat yang diukur daripada pencapaian pelajar-pelajar sekolah-sekolah berkenaan dalam peperiksaan awam adalah terus menunjukkan trend peningkatan.
     
    Manakala bagi pencapaian di peringkat menengah yang juga turut meningkat khususnya bagi pelajar sekolah Arab dan ITQHHB iaitu seramai 50.78 peratus pelajarnya berjaya mencapai lima ‘O’ Level ke atas berbanding pencapaian peringkat kebangsaan sebanyak 44.17 peratus.
     
    Trend peningkatan pencapaian dalam peperiksaan awam bagi sijil-sijil pelajaran agama dan arab peringkat rendah SSSRU, SPUB dan STPUB. 
     
    Kesemua ini, jelasnya, menandakan betapa bijaksana dan berwawasan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berazam mengekalkan persekolahan agama dan Arab dalam sistem pendidikan negara, yang setentunya akan terus menyumbang kepada pengukuhan kehidupan beragama masyarakat, kerajaan dan negara pada masa ini dan pada masa-masa akan datang era pencapaian Wawasan Brunei 2035 dan era-era selanjutnya.
     
    Selain itu, beliau turut me-ngongsikan bahawa penggunaan sistem BruHaj telah membantu pihak kementerian dalam meningkatkan keberkesanan tadbir urus perkhidmatan haji khususnya dalam proses pendaftaran dan pengurusan data bakal-bakal jemaah haji yang lebih sistematik dan teratur.
     
    Inisiatif baharu itu juga telah memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendaftar bagi menunaikan ibadah haji tanpa perlu hadir ke kaunter-kaunter dan turut memberi peluang dan kemudahan kepada rakyat Brunei yang berada di luar negara untuk membuat pendaftaran dengan mudah dan ringkas. 
     
    Dalam masa yang sama, pendaftaran melalui sistem BruHaj juga dapat memberikan peluang kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka termasuk anak-anak damit sebagai perancangan masa depan.
     
    Jumlah pendaftaran haji melalui sistem BruHaj setakat 6 Mac ini telah mencapai seramai 6,640 orang yang termasuk kanak-kanak di bawah umur yang berjumlah 176 orang.
     
    Manakala, jumlah bilangan orang ramai di negara ini menunaikan umrah dalam tempoh enam tahun tidak termasuk 2021 (2018 – 2024) adalah seramai 21,933 orang. 
     
    “Jumlah ini terus meningkat yang mendorongkan penubuhan agensi-agensi pengendali atau penganjur umrah meningkat menjadi sebanyak 32 agensi, dan syarikat pelancongan yang mendapat kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan pakej umrah menggunakan visa pelancong meningkat kepada 32 buah,” jelasnya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda