Sunday, January 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU kongsi kemajuan bersama rombongan MMN

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Dalam berkongsi perancangan, pencapaian, perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai serta cabaran yang dihadapi, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan perjumpaan muhibah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Perjumpaan berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU di mana Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dalam ucapan alu-aluannya berkata, isu-isu yang dibincangkan diharap akan dapat memberikan rumusan ke hadapan terutama mengenai tiga isu iaitu Produk-Produk Import yang Diragui Kehalalannya; Hal Ehwal berkaitan Zakat, Wakaf dan Baitulmal dan Memperkasa Pendidikan Agama dan Sekolah Arab.

    Manakala itu, ketua rombongan ahli MMN, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam dalam ucapan balasnya antara lain telah menghargai segala perkongsian maklumat daripada pihak kementerian.

    Yang Berhormat Hajah Safiah seterusnya menjelaskan, perkongsian tersebut adalah untuk sama-sama meraikan kemajuan dan penambahbaikan bagi memper-tingkatkan kualiti dan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan yang disediakan.

    Selain menjadikannya antara perkhidmatan terbaik yang memberikan manfaat kepada semua pihak khususnya umat Islam di negara ini.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan ucapan alu-aluan pada perjumpaan muhibah di Bangunan Tambahan KHEU. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Hajah Safiah nenyampaikan ucapan balas. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Pada perjumpaan itu juga, ahli-ahli MMN telah mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang telah mengongsikan mengenai Rancangan Strategik KHEU 2020-2024 sebagai panduan dalam merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif perkhidmatan agama serta sebagai pengukur kepada pencapaian di peringkat antarabangsa, khususnya dalam platform MABIMS.

    Perjumpaan juga diisi dengan sesi dialog antara ahli-ahli MMN dengan pihak KHEU yang memfokuskan kepada isu-isu yang ditimbulkan semasa sesi Perbahasan Rang Undang-undang 2023, Perbekalan Tahun Kewangan 2023/2024.

    Sesi dialog berkenaan dijalankan dalam suasana harmoni yang dapat mengeratkan lagi jalinan ukhuwah antara KHEU dan ahli-ahli MMN.

    Di samping itu, ia memberikan inspirasi yang bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak, terutama mengenai Rancangan Strategik KHEU yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi mencapai visi kementerian secara berstruktur dan berhemah serta meningkatkan lagi mutu perkhidmatan agama di negara ini.

    Terdahulu, ahli-ahli MMN berpeluang melawat ke Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal untuk mengetahui dan menyaksikan secara dekat mengenai proses dan perkhidmatan yang dikendalikan oleh jabatan berkenaan.

    Turut hadir semasa perjumpaan itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) serta ketua-ketua jabatan dan bahagian di bawah KHEU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda