Friday, April 18, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU pantau kemudahan, pengajaran di sekolah agama

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Beberapa buah sekolah agama di daerah ini menjadi tumpuan dalam siri lawatan kerja sempena permulaan sesi Persekolahan Ugama Penggal Pertama bagi tahun 2024.
     
    Dalam siri lawatan kerja itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hari ini, meneruskan lawatan ke Sekolah Ugama Beribi dan Sekolah Ugama Katok (Bangunan Sekolah Menengah).
     
    Hadir sama bagi mengalu-alukan rombongan ialah Guru Besar Sekolah Ugama Beribi, Hajah Jamaliah binti Haji Yasin dan Guru Besar Sekolah Ugama Katok (Bangunan Sekolah Menengah), Dayang Norshuhada binti Haji Moksin. 
     
    Secara berasingan, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Misle bin Haji Abdul Karim mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Katimahar dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Mulaut.
     
    Hadir sama mengalu-alukan rombongan, Guru Besar Sekolah Ugama Katimahar, Dayang Hajah Noraidah binti Haji Kula dan Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Hajah Kasum binti Haji Maidin.
     
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa mengadakan lawatan ke Sekolah Ugama Beribi dan Sekolah Ugama Katok. – GAMBAR OLEH AZLAN OTHMAN
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam sesi dialog bersama guru. – GAMBAR OLEH AZLAN OTHMAN
    Haji Abdul Rajid semasa mengadakan lawatan dan berinteraksi dengan murid-murid di Sekolah Ugama Sungai Besar. – GAMBAR SERAHAN JPI KHEU
    Awang Misle mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Katimahar dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Mulaut. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Manakala itu, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh telah mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Sungai Besar dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Mentiri. 
     
    Rombongan telah dialu-alukan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Sungai Besar, Dayang Hajah Rusita binti Haji Ali dan Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Dayangku Rafidah binti Pengiran Haji Metahir.
     
    Turut hadir semasa lawatan-lawatan kerja tersebut, pegawai-pegawai kanan dan para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, KHEU.
     
    Antara pengisian lawatan-lawatan berkenaan termasuk sesi taklimat disampaikan oleh guru-guru besar sekolah dan kemudian mengadakan lawatan ke kelas-kelas murid dan berinteraksi bersama murid-murid dan para guru.
     
    Lawatan kerja berkenaan merupakan acara tahunan KHEU bagi meninjau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di persekolahan agama.
     
    Di samping menyaksikan lebih dekat prasarana dan kemudahan sekolah bagi memastikan penyediaan dan pencapaian pendidikan agama yang berkualiti tinggi dan berkesan. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda