Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    KHEU rai 128 pelajar, 43 guru

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Seramai 128 orang pelajar dan 43 orang guru telah diraikan dan menerima sijil pada Majlis Penghargaan Pelajar-pelajar dan Guru-guru Cemerlang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhor-mat Pehin Udana Khatib Dato

    Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Turut menerima anugerah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) tahun 1444H/2022 ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah binti Pengiran Haji Mohd Hakimuddin.

    YAM Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah dan Pengiran Haji Mohammad Hakimuddin semasa menghadiri Majlis Penghargaan Pelajar-pelajar dan Guru-guru Cemerlang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi kelmarin. Turut menerima anugerah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) tahun 1444H/2022 ialah cucunda DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah.
    Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah menerima anugerah yang disampaikan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bergambar ramai bersama guru-guru dan pelajar cemerlang yang diraikan.

    Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah dan Pengiran Haji Mohammad Hakimuddin.

    Majlis berkenaan bertujuan untuk meraikan pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dan membanggakan dalam peperiksaan awam yang telah diduduki pada
    2022.

    Ia juga sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan pengiktirafan dan insentif kepada pelajar-pelajar yang diraikan atas kecemerlangan yang dicapai, di samping sebagai motivasi kepada pelajar-pelajar lain supaya akan terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.

    Majlis juga bertujuan membarigakan kepada masyarakat mengenai kecemerlangan akademik yang dicapai oleh pelajar-pelajar persekolahan agama dan Arab dalam bidang-bidang agama, Bahasa Arab dan umum.

    Beberapa orang pelajar cemerlang yang ditemu bual rata-ratanya melahirkan rasa syukur atas anugerah yang diterima dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru dan kawan-kawan atas sokongan yang diberikan sehingga mencapai kejayaan berkenaan.

    Pelajar cemerlang bagi Sijil Tinggi Pelajar Ugama Brunei (STPUB), Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran mengongsikan bahawa beliau sedang merancang untuk menyambung pendidikannya ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara di bawah kursus Syariah Islamiah di Mesir atau di Jordan.

    Beliau turut mengongsikan tatacara pembelajaran agar sentiasa konsisten dan memberi masa untuk belajar dengan yang lain, seterusnya banyak bersabar.

    Manakala itu, Awang Mohammad Hafeez Qusyairi bin Haji Mustapa, pelajar cemerlang Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) merasa amat gembira kerana berjaya terpilih sebagai pelajar cemerlang pada tahun ini.

    Beliau merancang untuk melanjutkan pembelajarannya ke peringkat lebih tinggi dan bercita-cita untuk menyertai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...