Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Seramai 102 orang pegawai dan kakitangan yang bersara pada tahun 2022 telah diraikan atas sumbangan mereka sepanjang berkhidmat untuk Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) sempena sambutan HPA ke-30 tahun yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis anjuran KHEU itu merupakan tanda penghargaan ke atas perkhidmatan dan jasa baik yang telah dicurahkan oleh pegawai dan kakitangannya.
Antara pegawai dan kakitangan yang diraikan pada majlis itu ialah penerima anugerah-anugerah sempena sambutan HPA, iaitu Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) bagi tahun 2022 dan 2023, Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB2PA) bagi tahun 2022 dan 2023, dan Anugerah Inovasi Perdana sempena HPA kali ke-30.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan dan penghargaan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Seterusnya tetamu kehormat majlis berkesudian menyempurnakan penyampaian sijil persaraan kepada mantan pegawai dan kakitangan KHEU yang diraikan, dan sijil penghargaan kepada para penerima anugerah sempena HPA kali ke-29 dan 30.


