Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU rai Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bil Madaris Al-‘Arabiah, telah meraikan Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2021 secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting.

    Tema sambutan tahun ini ialah ‘Bahasa Arab dan Komunikasi Tamadun’ yang mengetengahkan peranan sejarawan Arab dalam melahirkan dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan, memperbaiki hubungan antarabangsa, serta membangun perdamaian dunia.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Serudin bin Haji Timbang.

    Sejurus perasmian Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2021, majlis menyaksikan tayangan video mengenai usaha-usaha dan program-program yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bil Madaris Al-‘Arabiah.

    Peserta majlis turut berpeluang mendengarkan ucapan daripada dua orang pegawai kementerian yang didatangkan sebagai tenaga pakar dari Kesultanan Oman.

    Haji Mohammad Serudin semasa turut menyertai Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia secara maya. – Gambar serahan KHEU

    Majlis turut diselajurkan dengan menyaksikan galeri lukisan secara maya dan pengumuman pemenang Pertandingan Melukis Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia yang telah terdahulu dibukakan penyertaannya kepada orang ramai bermula 28 November hingga 15 Disember lalu.

    Johan pertandingan ialah Dayang Ameratul Afiqah binti Khairul Arifin yang memenangi wang tunai $100, diikuti oleh Awang Izzatul Aiman bin Lidin di tempat kedua dengan menerima $70 dan pemenang ketiga ialah Awang Abdul Faiq Izzuddin bin Abdul Rahim yang menerima $50.

    Dua orang peserta pula menerima hadiah sagu hati sebanyak $30 iaitu Awang Ahmad Danial bin Dr Azme dan Dayang Eidah binti Haji Mohd Esa.

    Pelbagai aktiviti permainan secara dalam talian seperti kuiz, tongue twister, menulis perkataan dengan abjad, teka gambar dan sebagainya turut diadakan.

    Majlis sambutan dan aktiviti-aktiviti permainan tersebut telah disertai oleh guru-guru dan para pelajar di negara ini dan Kesultanan Oman.

    Sambutan bertujuan untuk menzahirkan rasa cinta kepada Bahasa Arab dalam kehidupan seharian, mengangkat Bahasa Arab sebagai bahasa universal yang diterima pakai secara global dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pembangunan penggunaan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda