Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Dalam menyemarakkan bulan Syawal yang bakal melabuhkan tirainya beberapa hari sahaja lagi, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis
Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lantai Bawah, Bangunan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), Kampung Rimba, hari ini.
Hadir memeriahkan lagi sambutan tersebut selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.
Majlis berkenaan merupakan salah satu kegiatan sosial berkebajikan warga KHEU bagi mengeratkan hubungan silaturahim yang lebih mesra dan harmoni sesama mereka serta menerapkan nilai-nilai yang lebih positif dalam hubungan ibarat sebuah keluarga.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin dan isteri, turut berdudun ramah mesra bersama golongan mualaf, belia masjid dan Muslimah, sejurus sebelum beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan KHEU dengan kunjung-mengunjungi ke ruang meja setiap jabatan, bahagian, unit di bawah kementerian itu yang dihiburkan dengan persembahan dari setiap booth.
Acara juga diselang-selikan dengan cabutan nama serta menyaksikan pengumuman hadiah utama dan peraduan Manzil Jamil (rumah/halaman cantik).
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Haji Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani bersama isteri masing-masing; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.


