Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Sebanyak 13 buah buku (6 set) berupa koleksi buku daripada Kedutaan Besar Republik Rakyat China telah disumbangkan ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada majlis yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, KHEU, hari ini.
Hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
Buku-buku yang disumbangkan berupa koleksi buku yang merangkumi aspek budaya, sains, landskap dan sejarah Republik Rakyat China.
TYT Xiao Jianguo dalam ucapannya berkata, sepanjang empat tahun yang lalu, kedutaan tersebut telah menyumbangkan hampir 2,000 buku kepada 13 sekolah di Brunei termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti serta pertubuhan kebudayaan, yang menyediakan platform untuk masyarakat di negara ini, terutamanya golongan muda, untuk belajar tentang China.
Pada tahun ini, dengan bantuan dan saranan KHEU, Kedutaan Besar Republik Rakyat China menyumbangkan enam set buku kepada enam pertubuhan agama merangkumi bidang kebudayaan dan kesenian Cina, sains dan teknologi, perubatan tradisional, serta perkembangan agama Islam dan budaya Islam di China, dan sebagainya.
“Kami percaya bahawa buku-buku ini bukan sahaja akan membantu masyarakat Brunei memahami masa lalu, masa kini dan masa depan China, tetapi juga mendalami pemahaman mereka tentang sejarah Islam dan budaya Islam di China,” ujar Tuan Yang Terutama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Perantis I-Ready, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Awang Abdul Qawiuddin bin Haji Suhaili.
Seterusnya, Haji Mohammad Rosli menyerahkan sumbangan koleksi buku itu kepada unit, jabatan dan institusi pendidikan di bawah kementerian berkenaan iaitu Unit Perundangan Islam; Pusat Dakwah Islamiah; Jabatan Hal Ehwal Masjid; Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Sekolah Menangah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.


