Wednesday, July 23, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU teruskan dialog bersama pemimpin akar umbi

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TEMBURONG, 22 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi meneruskan Sesi Dialog Bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan di Daerah Temburong yang diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang juga menyampaikan ucapan alu-aluan serta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada yang hadir.

    Dalam ucapan Yang Berhormat Pehin antara lain menyatakan bahawa tujuan sesi dialog itu ialah untuk meningkatkan kefahaman tentang dasar dan perkhidmatan agama, untuk mendapatkan input atau maklum balas daripada orang ramai secara langsung dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan agama, untuk mewujudkan kerjasama antara KHEU dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan untuk menyelaraskan pelaksanaan program-program keagamaan yang efektif.

    Menurut beliau, saranan dan cadangan yang dikemukakan akan diteliti dengan lebih lanjut dari segi kesesuaian serta keberkesanannya dalam pelaksanaan, khususnya yang memberi impak positif terhadap keperluan semasa masyarakat.

    Sesi dialog itu merupakan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan KHEU dalam memperkukuh peranan Islam dalam kehidupan masyarakat, selaras dengan hasrat Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan matlamat jangka panjang Wawasan Brunei 2035.

    Dalam menyentuh sesi-sesi yang telah berlangsung sebelum ini di Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Tutong, Yang Berhormat Pehin menyatakan penghargaan atas pelbagai saranan yang telah dikemukakan oleh para peserta terdahulu. Beliau menekankan semua input yang diberikan amat dialu-alukan dan akan dijadikan asas penting dalam membuat penilaian dan pelaksanaan dasar yang lebih berfokus dan menyeluruh.

    Sesi taklimat seterusnya dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, yang menyampaikan penerangan mengenai pelbagai perkhidmatan agama di bawah kementerian, merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan masjid, pendidikan agama, pengimarahan institusi-institusi agama, serta program-program dakwah dan sosial.

    Sesi itu disusuli dengan sesi soal jawab, yang memberi peluang kepada para peserta untuk mengemukakan persoalan, cadangan dan pandangan secara langsung kepada pihak kementerian.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Haji Shamsol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar dan ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan KHEU.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri sesi dialog yang diadakan di Daerah Temburong, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir semasa sesi dialog tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda