Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diteruskan kelmarin dengan mengalu-alukan orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.
Pada minggu ini, Program Malam Munajat diserikan dengan Tazkirah bertajuk Kepimpinan Adil Bersumberkan Al-Qur’an disampaikan oleh Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin, Penolong Ketua Bahagian Media, Pusat Dakwah Islamiah bagi menyerikan lagi Malam Munajat kali ke-142 anjuran KHEU.
Intipati tazkirah menyentuh mengenai mengaplikasikan Al-Quran dalam kepimpinan, di mana pemimpin yang berjaya melaksanakan tanggungjawabnya akan mampu mengurus, mentadbir dan menjaga amanah. Dengan Al-Qur’an merupakan sumber utama dalam mengaplikasikan keadilan dalam kepimpinan. Dan, sebaik-baik kepimpinan ialah mereka yang berpaksikan kepimpinan adil.
Program malam Munajat kali ini mengundang Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Ar-Rahman, Kampong Tanjong Bunut.
Turut mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Juga hadir ialah para pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan; penuntut-penuntut dan tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Ar-Rahman, Kampong Tanjong Bunut; serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang berjumlah 64 buah di seluruh negara. Juga, warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga yang turut serta secara atas talian dari kediaman masing-masing.


