Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC- Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya turut meraih kesempatan untuk menambah pahala melalui bertadarus di beberapa buah Masjid di negara ini.
Rombongan dari KHEU mengadakan Majlis Tadarus di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) KHEU, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan Taddabur Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Samali bin Haji Adam.
Acara diteruskan dengan Tadarus Al-Quran dan disusuli dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Rombongan Tadarus Pegawai dan KHEU seterusnya akan mengunjungi Masjid Kampung Telisai, Daerah Tutong esok, 10 Mac pada pukul 5 petang.
Semua di atas: Suasana sekitar majlis berkenaan.