Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 07 JAN- Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman meneruskan lagi sesi lawatan kerja ke Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan pagi tadi.
Sesi lawatan kerja berkenaan adalah bersempena dengan pendaftaran dan kemasukan pelajar-pelajar Sanah 5 ke Persekolahan Arab bagi Tahun 1446H / 2025M yang melibatkan seramai 190 pelajar perempuan telah menerima tawaran kemasukan ke Sanah 5 di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.
Lawatan berkenaan merupakan acara tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi meninjau pelaksanaan aktiviti-aktiviti kemasukan pelajar-pelajar baharu ke Persekolahan Arab di samping melihat secara dekat prasarana dan kemudahan sekolah bagi memastikan penyediaan dan pencapaian pendidikan yang berkualiti tinggi.
Turut hadir dalam rombongan bersama Menteri Hal Ehwal Ugama ialah pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU.
Sementara itu, seramai 190 pelajar lelaki telah menerima tawaran kemasukan ke Sanah 5 di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba.
Hadir mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan pagi tadi ialah Setiausaha Tetap KHEU, Yang Mulia Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim untuk meninjau sesi pendaftaran dan kemasukan pelajar-pelajar baharu Sanah 5 ke persekolahan Arab bagi tahun 2025.
Lawatan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan penyediaan infrastruktur dan kemudahan di sekolah berkenaan bagi kesejahteraan tenaga pengajar dan para pelajar yang secara tidak langsung membantu ke arah mencapai pendidikan yang berkualiti tinggi.
Turut hadir dalam lawatan tersebut, para pegawai dari JPI, KHEU.
Beberapa buah sekolah di bawah KHEU juga turut menerima lawatan kerja daripada wakil KHEU termasuk Sekolah Arab Belait di mana seramai 28 orang pelajar yang terdiri dari 14 pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan telah menerima tawaran kemasukan di Sekolah Arab Belait bagi tahun ini.
Hadir membuat lawatan kerja ke sekolah berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar bersama-sama dengan pegawai-pegawai dari JPI, KHEU.
Manakala, Maahad Islam Brunei di Daerah Tutong telah menerima pendaftaran dan kemasukan pelajar-pelajar baharu Sanah 5 seramai 50 pelajar yang terdiri dari 28 pelajar lelaki dan 22 pelajar perempuan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim bersama-sama pegawai-pegawai dari JPI, KHEU juga telah mengadakan lawatan kerja ke sekolah berkenaan pagi tadi.