Khidmat bomoh diserbu

BANDAR SERI BEGAWAN – Bahagian penguatkuasa Jabatan Imigresen telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Sinarubai yang dipercayai menjadi tempat menjalankan kegiatan perbomohan oleh seorang perempuan berumur 34 tahun yang berasal dari Sabah.

Dalam Operasi Tilik yang disertai 26 pegawai imigresen dengan diketuai Pegawai Kanan Imigresen, Awang Jumaat bin Haji Burut, mereka juga teserempak dengan dua wanita tempatan berumur sekitar 30an yang dipercayai datang untuk mendapatkan khidmat ‘perubatan’ daripada bomoh itu.

Setelah rumah itu digeledah, pegawai Imigresen menjumpai beberapa barang yang digunakan dalam amalan perbomohan, termasuk kepingan ayat Al-Quran yang diragui, keris, bekas kemenyan dan bekas lilin.

Selain itu, lebih 30 tali azimat, buku yang mengandungi mentera, batu ganjil dan senarai nama mereka yang mendapatkan bantuan bomoh wanita itu turut dirampas.

Ketika disoal siasat, bomoh wanita itu pada mulanya tidak mengaku mengamalkan perbomohan, tetapi sebaliknya mendakwa hanya menjalankan khidmat mengurut.

Kedua-dua wanita tempatan itu pada mulanya menafikan datang menemui wanita itu untuk tujuan berubat tetapi hanya melawat bomoh itu yang sudah dianggap oleh mereka sebagai saudara.

Bagaimanapun, niat sebenar mereka terbongkar apabila suami bomoh itu mendedahkan tujuan kedatangan mereka ialah mendapatkan khidmat bomoh.

Menurut sumber, kegiatan perbomohan itu sudah dijalankan sejak sekian lama dan lazimnya apabila ada orang datang berubat dan ketika upacara mengubat dijalankan, si suami akan berada di luar rumah untuk mengawasi keadaan sekeliling.

Bomoh wanita, suaminya dan dua wanita yang datang untuk berubat diarahkan datang ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut. Semua perkakas mengubat milik bomoh itu juga dirampas.

Dalam operasi yang berasingan, Imigresen menahan dua warga Bangladesh kerana mendapati pas kerja mereka mansuh. Kedua-dua mereka kini ditahan di Balai Polis Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut.