Khidmat cuci haiwan korban menjelang Aidiladha

KARACHI, 30 JULAI – Menjelang Hari Raya Aidiladha, pusat cuci kereta milik Sheikh Sagheer tidak dipenuhi kenderaan bertayar empat sebaliknya binatang berkaki empat.

Penduduk setempat membawa lembu, biri-biri dan kambing mereka untuk dibasuh sempena ibadah korban selama tiga hari, yang bermula esok, Jumaat di Pakistan.

Sagheer, 42, berkata perkhidmatan mencuci haiwan bermula selepas orang ramai melihat dia membersihkan haiwan miliknya, ketika kedainya itu baharu beroperasi beberapa tahun lalu.

“Orang ramai yang menyaksikan saya mencuci haiwan itu datang kepada saya bersama ternakan mereka…dari situlah trend itu bermula,” kata Sagheer kepada AFP.

Sebilangan besar haiwan berasal dari pasar besar di pinggiran Karachi, yang terkenal sebagai pasar ternak terbesar di Asia, yang dipenuhi dengan kambing, sapi, lembu dan unta.

Sagheer mengenakan caj sebanyak 100 rupee (sekitar AS$0.60 sen) untuk mencuci yang merangkumi rendaman, gosok, cuci dan bilas.

Sagheer berkata kebersihan sangat penting ketika dunia sedang mengalami pandemik COVID-19.

“Disebabkan itu saya memastikan haiwan dibersihkan dan disanitasi,” katanya. – AFP

Gambar yang diambil pada 27 Julai menunjukkan Sheikh Sagheer menyemburkan buih semasa mencuci seekor kerbau di stesen khidmat cuci kereta menjelang Aidiladha. – AFP