BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Pejabat cawangan-cawangan Daerah Tutong, Belait dan Temburong akan ditambah waktu operasi bagi kaunter perkhidmatan pendaftaran dan pengambilan dokumen perjalanan secara sementara pada setiap hari Jumaat.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, operasi tersebut akan bermula esok hingga 5 Januari 2024 bermula pada jam 8:15 pagi hingga 11 pagi.
Manakala waktu operasi di ibu pejabat yang berjalan pada masa ini iaitu setiap Jumaat adalah masih berjalan seperti sebelumnya.
Pelaksanaan penambahan waktu operasi itu adalah bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai yang ingin membuat pendaftaran dan pengambilan dokumen perjalanan semasa musim cuti penggal persekolahan pada masa ini.
Dalam kesempatan ini, JIPK juga menasihatkan orang ramai yang akan membuat perjalanan ke luar negara supaya memastikan setiap dokumen perjalanan mereka dalam keadaan baik dan masih mempunyai tempoh sah laku sekurang-kurangnya enam bulan sebelum mansuh dan juga masih mempunyai ruang muka surat kosong yang mencukupi untuk mengelakkan sebarang masalah dan kesulitan semasa hendak membuat urusan perjalanan ke luar negara.


