BERLIN, 8 Mei – Pemain sayap veteran, Franck Ribery, 35, telah menandatangani kontrak lanjutan setahun lagi untuk terus kekal di Bayern Munich sehingga 2019, menurut pengumuman gergasi Jerman itu, semalam.
“Saya gembira dapat beraksi untuk setahun lagi di kelab terhebat ini,” kata Ribery dalam satu kenyataan.
“Munich telah lama menjadi kediaman bagi keluarga saya dan saya sendiri, jadi saya berbangga untuk beraksi dalam FC Bayern musim depan.”
Ribery menyertai Bayern pada 2007, menjaringkan 80 gol dalam 247 kemunculan di Bundesliga dan memenangi gelaran liga Jerman bagi kali kelapan berturut-turut musim ini.
“Kami gembira Franck dikekalkan,” kata pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.
“Musim ini, Franck sekali lagi membuktikan dalam Bundesliga, begitu juga dalam Liga Juara-juara dan Piala Jerman, kemampuan dan kualiti yang dimilikinya.
“Dia juga salah seorang pengikut kami.”
Biarpun mengalami kecederaan lutut pada Oktober lalu yang merehatkannya sepanjang 10 perlawanan, Ribery, yang akan berusia 36 tahun apabila kontraknya berakhir, telah menjaringkan lima gol dalam 19 perlawanan liga musim ini.
Dia adalah pemain utama apabila Bayern memenangi tiga kejuaraan dalam Bundesliga 2013, Piala Jerman dan Liga Juara-juara, menjaringkan 11 gol dan 23 asis dalam purata 43 perlawanan.
Ia adalah hantaran terakhir Ribery yang disempurnakan Arjen Robben bagi gol kemenangan di Wembley apabila Bayern menewaskan Borussia Dortmund 2-1 dalam perlawanan Liga Juara-juara pada tahun itu.
“Apabila saya datang ke Munich pada 2007, saya bersedia untuk meneruskan kerjaya saya pada peringkat seterusnya,’ kata Ribery di Instagram. – AFP