Wednesday, March 5, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khidmat rawatan Pusat Al-Islah diberi perhatian khas

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberikan perhatian khas kepada usaha-usaha Pusat Al-Islah dalam memberikan khidmat rawatan dan pemulihan residen-residen di pusat berkenaan.

    Dalam hubungan itu, Biro Kawalan Narkotik (BKN) menitikberatkan penyediaan pelbagai program dan perkhidmatan di bawah Therapeutic Community bagi membantu residen untuk mengekalkan kepulihan mereka dengan turut melibatkan keluarga residen dalam program pemulihan berkenaan.

    Salah satu usaha untuk membantu proses reintegrasi residen Pusat Al-Islah sebelum kembali sepenuhnya ke pangkuan keluarga dan masyarakat, BKN telah memperkenalkan Skim Pelepasan Sementara (SPS) bagi mempersiapkan diri mereka.

    “Melalui program SPS, residen yang menunjukkan perkembangan positif dalam program pemulihan akan diberi peluang untuk pulang ke rumah keluarga masing-masing pada hujung minggu dan seterusnya mengikuti penempatan kerja seperti di syarikat-syarikat swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO), melanjutkan pembelajaran di Pusat Pembangunan Belia (PPB) atau melibatkan diri dalam aktiviti dan perkhidmatan komuniti.”

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman mengenai keberkesanan program pemulihan dan pencegahan dadah, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi semasa memberi penerangan pada Persidangan MMN. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Selain daripada itu, Jawatankuasa Penasihat Pusat Al-Islah yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan mempunyai peranan untuk mengenal pasti peluang pekerjaan bagi residen di bawah Program SPS dan meningkatkan kemahiran serta keupayaan para residen sebelum mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat, jelas Yang Berhormat Pehin semasa Persidangan MMN Hari Keempat yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis.

    Setelah dibebaskan dari Pusat Al-Islah, lepasan residen juga akan dipantau melalui Skim Pengawasan dalam mana mereka akan menjalani program dan aktiviti di Bahagian Pengawasan yang tertumpu kepada pengukuhan jati diri.

    Yang Berhormat Pehin menerangkan bahawa Skim Pengawasan memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan dan program pasca rawatan serta pemulihan dadah untuk membantu mereka menyesuaikan diri dalam kehidupan masyarakat supaya mereka dapat menuju ke arah pemulihan yang berkekalan.

    Beliau menyatakan lagi dengan adanya program seperti SPS dan Skim Pengawasan, pihak BKN telah mencatat penurunan dalam jumlah kes kemasukan semula atau relapse di kalangan residen di Pusat Al-Islah iaitu penurunan sebanyak 35 peratus daripada 17 kes pada 2021 menjadi 11 kes pada 2024.

    Menyentuh mengenai cadangan untuk memberikan dana kepada residen Pusat Al-Islah supaya mereka dapat berhenti daripada terus melakukan aktiviti yang berkaitan dengan dadah.

    Yang Berhormat Pehin menerangkan Pusat Al-Islah telah diberi peruntukan dana hampir $3.5 juta bagi Tahun Kewangan 2024/2025 dan ia adalah dinilai bahawa jumlah berkenaan lebih sesuai untuk digunakan bagi membiayai aktiviti seperti program rawatan dan pemulihan untuk residen pusat itu.

    Walau bagaimanapun, JPM mengalu-alukan sebarang bantuan dan sumbangan tambahan yang dapat diberikan kepada Pusat Al-Islah supaya mereka dapat mengungkayahkan lebih banyak program untuk membantu residen-residen yang sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda