Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khidmat sukarelawan masih diperlukan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Sukarelawan Belia Brunei yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) masih terus beroperasi seperti biasa walaupun hampir sebulan negara ini tidak mencatatkan kes baharu COVID-19.

    Ketua Pusat Operasi Sukarelawan Belia, Hajah NoorMonasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh ketika dihubungi menjelaskan, walaupun ketika ini orang ramai sedang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun anggota sukarelawan masih diperlukan dan pusat ini masih beroperasi seperti biasa.

    Beliau seterusnya menambah, setakat ini lima buah hotel masih memerlukan perkhidmatan kesukarelawan ini.

    “Masih ada penerbangan masuk ke negara ini, di mana khidmat sukarelawan ini masih diperlukan terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengawal dan membantu mendaftar kemasukan mereka yang memasuki negara ini ke hotel di mana me-reka ditempatkan bagi menjalani pengasingan diri,” tambahnya.

    Sementara itu sebahagian lagi sukarelawan masih bekerja di pusat-pusat kesihatan dan hospital untuk membantu melakukan pemeriksaan suhu badan dan lain-lain.

    Para sukarelawan mengumpulkan barang keperluan di Stadium Tertutup dalam usaha untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Beliau seterusnya menjelaskan, walaupun tugas sudah berkurangan tetapi sukarelawan lelaki kini diberikan peranan untuk membantu dalam pemeriksaan kod QR dan suhu badan sejak masjid mula dibuka untuk orang ramai menunaikan sembahyang Jumaat minggu lepas.

    “Di samping itu, beberapa sukare-lawan kami juga ditempatkan di Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) untuk membantu memantau mereka yang memakai gelang pengesan,” jelasnya.

    Sementara itu, tambahnya, perkhidmatan dan tugas sukarela yang lain akan dikurangkan secara perlahan kerana sebilangan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar harus segera kembali ke sekolah.

    “Kami mempunyai perancangan untuk memperlahankan tugas dan perkhidmatan kami dari semasa ke semasa selepas melihat perkembangan positif, di mana negara terus mencatatkan kes sifar jangkitan baharu beberapa minggu terakhir dan perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan pihak berkenaan.”

    Tambahnya, “Ini adalah untuk memastikan anggota Sukarelawan Belia akan sentiasa bersiap sedia jika diperlukan pada masa akan datang.”

    Menurutnya, Pusat Operasi Sukarelawan Belia di Pusat Bahagia, yang dulunya beroperasi 24 jam sekarang hanya beroperasi hingga pukul 10 malam saja yang mana setakat ini, seramai 1,533 sukarelawan terdaftar di bawah Sukarelawan Belia.

    Beliau turut menyentuh mengenai usaha dalam membantu keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini, di mana sumbangan yang dikumpulkan di Stadium Tertutup akan dihentikan secara beransur-ansur mulai 2 Jun ini.

    “Alhamdulillah, usaha menyampaikan bantuan yang disumbangkan oleh orang ramai kepada 274 keluarga di seluruh negara berjaya yang mana usaha ini adalah untuk memastikan kesejahteraan masyarakat terutama yang memerlukan dan tugas ini akan diserahkan semula ke Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM),” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda