Khir Rahman kecewa niat bagi pencerahan dituduh kecam Ogy

Isu bayaran tertunggak teater Korupsi Dewan Semandung terus jadi bualan apabila pengarahnya pada Khamis tampil menafikan telah memuat naik status berunsur kecaman terhadap penerbit Fauziah Ahmad Daud.

Khir Rahman berkata, status yang dimuat naik di laman Twitter sebelum ini tidak berunsurkan kecaman sebaliknya menjelaskan situasi sebenar yang berlaku antara mereka.

Menurut Khir, dia membuat penjelasan mengenai isu berkenaan selepas Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy mendedahkannya menerusi laporan mStar pada 1 Mei lalu.

“Allahuakbar. Selesai tarawih saya diduga dengan berita ini. Sesedar saya, kami langsung tidak mengecam. Saya selak balik apa yang saya tulis di Twitter, langsung tidak ada yang bersifat mengecam.

“Ianya lebih kepada bercerita, memberi pencerahan ke atas apa yang berlaku, agar kami tidak dituduh sebagai mendesak tanpa asas. Jelas kami hanya menuntut janji terhadap bayaran kami yang sepatutnya telahpun diselesaikan pada 16 Mac lalu.

Khir berasa ralat pertolongan yang dihulurkan tidak dijawab Ogy sehingga kini. – Agensi

“Yang mana kini telahpun dimungkiri kak Ogy sendiri. Apa-apa pun segala-gala ini berlaku setelah kak Ogy mendedahkan hal ini terlebih dahulu melalui portal mStar,” kata Khir.

Menerusi laporan itu, Ogy mengakui kebenaran mengenai dirinya tidak melunaskan bayaran kepada pelakon dan kru teater tersebut selepas penulis skrip Aloy meluahkan rasa kesal terhadapnya.

Sebelum ini, Khir juga mendedahkan Ogy telah menyekat dia dan beberapa pelakon lain di laman sosial dan turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku sehingga mencetuskan kemelut berkaitan pembayaran.

Dalam pada itu, Khir memberitahu dia dan rakan-rakan yang terlibat dalam pementasan tidak akan berhenti berusaha untuk menuntut hak mereka yang sehingga kini masih belum diterima.

“Tak apa la, sekiranya menuntut hak sendiri dituduh kecam, teruskanlah tuduhan itu. Namun kami tidak akan berhenti berusaha untuk mendapatkannya demi kelangsungan hidup dan maruah.

“Sejak dari berita dan isu ini tersebar, kami masih belum menerima sebarang pembayaran.

Kak Ogy masih membisu dalam group WhatsApp namun dia ada mesej secara peribadi kepada beberapa orang saja.

“Yang mana katanya, dia akan mengirimkan surat melalui pihak peguamnya bahawa pembayaran akan dibuat terhadap beberapa orang itu sebelum Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Sementara itu, Khir meluahkan rasa terkilan apabila niatnya untuk membantu Ogy tidak dilayan malah sehingga kini aktres itu hanya berdiam diri.

“Saya dan ramai lagi masih belum menerima apa-apa berita. Saya bersyukur kami terus bersatu. Dari saya hinggalah kepada tukang paku set. Sekian dulu, saya juga tak suka bising-bising. Sejarah karier saya belum pernah saya buat kecoh.

“Ralat sungguh. Ya… melalui voice note peribadi saya pada kak Ogy memang saya ada nyatakan untuk membantu apa yang boleh demi perbaiki maruah dia namun tidak berjawab sehingga kini.

“Mungkin dia tujukan pada mana-mana pihak yang didakwanya sebagai ‘mengecam’” katanya. – Agensi