UZBEKISTAN/KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Bandar purba Khiva di Uzbekistan bakal diserikan dengan warna-warni budaya, muzik dan aroma manis tembikai ketika penganjuran Festival Tembikai Tradisional ‘Qovun Sayli’ dari 8 hingga 10 Ogos ini.
Menurut Kedutaan Uzbekistan di Malaysia, festival itu akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan pameran hasil pertanian tempatan.
Antara acara kemuncak ialah konsert gala oleh artis tempatan dan antarabangsa yang akan berlangsung di kompleks pelancongan bersejarah Ichan-Kala pada 8 dan 9 Ogos, serta di Arda Khiva pada 10 Ogos.
“Bandar dan daerah dalam wilayah berkenaan akan mempersembahkan pameran jualan yang memaparkan tembikai manis yang ditanam di kawasan masing-masing,” menurut kenyataan.
Acara itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan dan majlis tempatan Khorezm ‘hokimiyat,’ dengan astaka yang dihias meriah mencerminkan identiti setiap wilayah.
Pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan teater, pertunjukan boneka, peragaan pakaian tradisional serta pameran makanan warisan termasuk roti Khorezm dan barangan kraf tangan. Program itu juga menampilkan persembahan muzik rakyat secara langsung, bengkel interaktif dan pameran seni visual serta seni gunaan. – Bernama


