Semakin meraih perhatian peminat tempatan, kerancakan karier muzik penyanyi, Khodi nampaknya semakin terserlah.
Penyanyi ini sendiri jelas tidak mahu melepaskan ruang depan mata untuk membuktikan bahawa dirinya mampu pergi jauh dalam gelanggang seni.
Selepas melancarkan lagu Lenggang baru-baru ini, Khodi atau nama sebenarnya Seri Khodijah Kamarul Bahrin tampil pula dengan pertaruhan terbaharunya, Dia Bagiku.
Mendapat sentuhan komposer Farouk Rahman dan lirik hasil tulisannya sendiri, gadis berusia 20 tahun itu mencabar diri untuk membawakan lagu balada pertamanya. Yang pasti, isi penceritaan Dia Bagiku cukup menarik.
“Saya diberikan peluang untuk menulis lirik lagu Dia Bagiku yang mengisahkan seorang wanita dilanda keperitan cinta tiga segi. Karakter watak Jasmine dalam drama SingleTerlalu Lama memberi inspirasi kepada saya untuk menceritakan mengenai kisah suka dan duka yang dialaminya sewaktu menjalin persahabatan dengan dua jejaka.
“Sebenarnya, kedua jejaka itu bukan pilihan terbaik buat Jasmine. Dia terpaksa membuat pilihan yang tulus dari hatinya. Jadi, lagu ini adalah luahan perasaannya dalam membuat pilihan itu.
“Mesej ingin saya sampaikan menerusi lagu ini adalah, jangan mudah putus-asa dalam mencari cinta. Begitu juga memilih kekasih haruslah kena tulus dan ikhlas,” katanya. – Agensi
