Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Kia Carnival generasi ke-4 telah sempurna dilancarkan pagi tadi di majlis pelancaran dan pengenalan anjuran Grand Motors Sdn Bhd, pengedar eksklusif kenderaan Kia di negara ini di Bilik Pameran Kia, di Perindustrian Beribi II.
Menurut Kia Brunei, Kia Carnival generasi ke-4 itu diperbaharui dengan mengukuhkan posisinya sebagai perintis dalam segmennya, membawa kelebihan yang unik.
Dengan reka bentuk menyerupai SUV, ia juga menawarkan ruang penumpang dan kargo yang sangat luas.
Kia Carnival tersebut menawarkan ciri-ciri versatil dengan pilihan tren kuasa turbo-hibrid dan enjin CRDi, ia juga dilengkapi dengan teknologi ke arah era digital dengan fokus pada kesalinghubungan dan kemudahan dan untuk pasaran di Brunei, Carnival tersedia dalam dua tahap trim (GL dan GLS) untuk varian HEV dan CRDi.
Melihat kepada reka bentuk Opposites United yang tersendiri, Carnival menunjukkan penampilan yang moden dan berani, layak untuk sebuah SUV dengan gril yang besar dan berbentuk sculptural, fasa hadapan menampilkan reka bentuk yang tajam dan tegas, dipadankan dengan butiran teknologi tinggi dalam lampu utama berbentuk kubus yang dihiasi dengan lampu siang Star Map berwarna amber yang menjadi simbol Kia.
Pada bahagian belakang, Carnival kelihatan lebih halus yang fokus kepada keterampilan yang lebih kemas.
Reka bentuk teknikal juga diteruskan kepada pilihan roda aloi yang berukuran antara 18 hingga 19 inci, menampilkan pelbagai sudut geometri.
Seterusnya melihat kepada ruang keselesaan dan kemudahan, Carnival generasi ke-4 mempunyai ruang yang penuh dengan futuristik yang direka dengan bentuk yang sederhana dan kesan tiga dimensi yang dicapai melalui pencahayaan ambien yang tersedia merentasi papan pemuka.
Di hadapan, paparan dual-curved panoramic menampilkan instrumentasi digital sepenuhnya dengan kluster 12.3 inci dan paparan infotainment 12.3 inci yang elegan diintegrasikan dalam satu panel untuk daya tarikan ultramoden. Enam port USB-C standard yang tersedia di seluruh kabin dapat membantu mengecas peranti mudah alih bagi penumpang di ketiga-tiga baris.
Reka bentuk tempat duduk Slide-Flex untuk versi lapan penumpang terus membenarkan pelbagai konfigurasi dengan tempat duduk tengah barisan kedua yang boleh diselak bagi membolehkan penumpang hadapan mengakses anak damit atau anak yang duduk di dalamnya.
Tempat duduk barisan kedua yang boleh ditanggalkan dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat ke dalam lantai terus menjadi ciri khas Carnival.
Mengenai dengan kepelbagaian fungsi dengan pilihan hibrid baharu, prestasi dalam Carnival masih dipacu oleh enjin CRDi 2.2 liter yang menghasilkan 202 kuasa kuda dan 440Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang menghantar kuasa ke roda hadapan.
Mengukuhkan posisinya sebagai kenderaan pelbagai guna, Carnival Hybrid kini tersedia dengan enjin turbo hibrid 1.6 liter yang dipadankan dengan motor 54kW dan transmisi automatik enam kelajuan, dengan output gabungan sebanyak 242 kuasa kuda.
Peningkatan prestasi hibrid bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan ekonomi bahan api, sambil menyediakan pengalaman memandu yang selesa.
Selain itu, roda aerodinamik 18 inci atau 19 inci adalah eksklusif untuk Carnival HEV.
Dalam mod Eco/Smart, Kawalan Gerakan Kenderaan Elektrik (E-VMC) diaktifkan dengan sentuhan pemacu pedal untuk menyesuaikan tahap penjanaan brek semula dengan kawalan pemecutan tiga peringkat.
Kenderaan Carnival yang baharu itu dipamerkan di kesemua bilik pameran Kia.
Selain pelancaran itu, turut diadakan adalah acara Kia Customer Weekend berlangsung hari ini dan esok di Bilik Pameran Kia.
Acara khas itu menawarkan pelanggan peluang untuk meneroka pelbagai barisan Kia, dengan tawaran eksklusif pada model Kia terpilih yang tersedia sepanjang hujung minggu.