Oleh Nurdiyanah R. –
TAIPEI, 20 NOV – Kia Asia Pasifik telah melakar peristiwa penting pada 14 November lalu dengan perasmian Hari Kia EV 2024 di Asia Pasifik, dengan menampilkan model elektrik terbaharu dan teknologi inovatif Kia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama utama EV untuk semua orang.
Acara itu disokong oleh pameran pertama Kia EV3 di Asia Pasifik, yang akan dilancarkan di negara Asia Pasifik terpilih pada 2025 dan Concept PV5 baharu. Turut dipamerkan ialah EV masa hadapan, Concept EV4.
Sehubungan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ibu Pejabat Kia Asia Pasifik, Ki Seok Ahn, berkata Hari EV rantau Asia Pasifik yang julung kali diadakan ini merupakan bukti dedikasi Kia yang tidak berbelah bahagi terhadap mobiliti mampan dan komitmen berterusan mereka untuk memacu revolusi EV ke hadapan
“Acara ini mewakili satu peristiwa penting dalam perjalanan kami ke arah masa depan yang lebih mampan, memaparkan teknologi EV termaju kami, reka bentuk inovatif dan strategi yang teliti. Dengan mengutamakan pendekatan bertumpu kepada pelanggan, kami bukan sahaja memenuhi permintaan pengguna hari ini tetapi juga menetapkan peringkat yang lebih hijau pada masa depan. Kami teruja untuk berkongsi visi dan inovasi kami dengan rakan kongsi dan pemegang kepentingan kami di seluruh rantau APAC,” tambahnya.
Acara kemuncak adalah melihat dengan lebih dekat Kia EV3 yang membawakan teknologi inovatif SUV EV9 perdana untuk menetapkan piawaian baharu dalam segmen SUV EV kompak. Direka bentuk dengan semua inovasi dan teknologi EV Kia sebelumnya, EV3 bersedia untuk memanfaatkan permintaan untuk SUV EV kompak peringkat awal.
EV3 dijangka mula dijual di negara Asia Pasifik terpilih pada 2025 dan bertujuan meningkatkan keboleh-capaian EV yang mempercepatkan peralihan Kia kepada penyelesaian mobiliti mampan yang disediakan. Mengguna pakai falsafah reka bentuk United, Kia EV3 menampilkan boxy rear fenders, garis bumbung yang condong serta pendirian teguh memberikan reka bentuk sporty moden yang pasti menarik.
Walau bagaimanapun, Hari Kia EV 2024 juga mempamerkan Concept EV4 dan buat pertama kalinya di rantau ini, Concept PV5.
Concept EV4 menggabungkan estetika yang diilhamkan oleh bumi dengan teknologi canggih untuk mempersembahkan siluet yang menarik dengan reka bentuk yang luas justeru memberikan kemewahan moden dan jenis sedan EV yang baharu sepenuhnya.
Concept PV5 pula ialah Platform Beyond Vehicle (PBV) khusus pertama Kia, konsep yang melangkaui kenderaan tradisional untuk menyediakan penyelesaian mobiliti menyeluruh yang menggabungkan teknologi ruang dan perisian terbaik. Direka bentuk dengan mengambil kira kepelbagaian daripada perniagaan hingga ke pengembaraan, PV5 memaparkan reka bentuk yang mantap dan ringkas yang memfokuskan pada penyampaian model yang boleh disesuaikan untuk pelbagai guna sama ada aktiviti pengangkutan, logistik dan gaya hidup peribadi.
Turut dipamerkan ialah Kia EV9 perdana yang berjaya mendapat pengiktirafan di seluruh dunia termasuk Supreme Winner of the 2024 Women’s Worldwide Car of the Year dan 2024 World Car Awards.
Selain memperkenalkan model-model baharu, Kia menekankan matlamat mereka untuk memperkenalkan barisan penuh EV. Di samping itu, Kia juga merancang untuk mengembangkan rangkaian EV dan PBV hibridnya sementara mengimbangi tawaran ini dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman untuk pasaran baharu.
Kia juga berhasrat untuk menstabilkan pengeluaran EV dan sistem bekalan baterinya dengan mengendalikan enam pangkalan pengeluaran EV global menjelang 2025.