Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Grand Motors Sdn Bhd, pengedar eksklusif kenderaan Kia di Brunei Darussalam, malam tadi telah melancarkan Kia Tasman, sebuah trak pikap pertama keluaran Kia yang bakal menjadi penanda aras baharu dalam segmen berkenaan.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik, Kevin Ahn serta Pengarah Urusan Grand Motors, Frankie Ho bersama wakil pengurusan tertinggi Kia Asia Pacific, institusi kewangan, para jemputan khas dan pelanggan setia.
Dalam ucapannya, Kevin Ahn menyatakan bahawa pelancaran Kia Tasman di Brunei mencatatkan sejarah penting bagi Kia di rantau ini.
“Ini merupakan pelancaran pertama Kia Tasman di Asia Tenggara dan menjadi bukti evolusi serta visi masa depan Kia. Brunei sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan Kia, dengan kerjasama hampir 30 tahun bersama Grand Motors yang menjadikan jenama ini dipercayai di Brunei,” ujar beliau.
Sementara itu, semasa acara berkenaan, Frankie Ho turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Kia Asia Pacific dan para jemputan yang hadir.





“Selama hampir tiga dekad, Grand Motors berbangga mewakili Kia di Brunei. Hari ini kami memperkenalkan Tasman iaitu trak pikap pertama Kia yang dibina dengan kemampuan, ketahanan dan sofistikasi moden. Ia bukan sekadar pikap, tetapi sebuah kenderaan yang membuka peluang baharu serta membantu pengguna mengembangkan potensi mereka,” jelasnya.
Selain itu, Kia Tasman hadir dengan rekaan mantap menerusi gril radiator yang besar, lampu signature menegak serta bentuk badan yang kemas. Ruang dalaman yang ringkas tetapi praktikal, dilengkapi skrin panorama 12.3 inci, sistem audio premium Harman Kardon (X-Line), meja konsol lipat, pengecas tanpa wayar berkembar dan ruang simpanan tersembunyi berkapasiti 33 liter.
Kereta tersebut turut menawarkan keselesaan terbaik dalam kelasnya dengan ruang atas, bahu dan kaki yang luas di barisan kedua. Bahan dalaman pula menggunakan fabrik PET kitar semula dan bio-plastik, selaras dengan komitmen Kia terhadap kelestarian.
Dikuasakan oleh enjin diesel 2.2 liter berkuasa 207PS yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, Tasman mampu menghasilkan tork maksimum 440Nm, dengan kapasiti muatan 1,145kg serta keupayaan menunda sehingga 3,500kg.
Semua varian boleh meredah air sehingga 800mm, manakala varian X-Line dilengkapi pacuan empat roda dengan mod pemanduan Eco, Smart dan Sport. Antara ciri keselamatan termasuk Lane Keeping Assist, Blind Spot Collision Avoidance Assist dan Smart Cruise Control dengan fungsi henti dan jalan.
Kia Tasman ditawarkan dalam tiga jenis model iaitu LX, EX dan X-Line, dengan pilihan lapan warna termasuk dua rona baharu Tan Beige dan Denim Blue.

