Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kibar bendera sempena Hari Keputeraan

    Oleh Yusrin Junaidi, Salawati Haji Yahya, Nurdiyanah R., Daniel Lim & James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun secara rasmi bermula hari ini dengan Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara yang diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Majlis dimulakan dengan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7mx7.5m yang disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, diikuti dengan penaikan dan pengibaran bendera yang dilakukan oleh 30 orang anggota Tentera Laut Diraja Brunei dengan diketuai oleh 1287 Lt. Dya Mohammad Firdaus bin Kolonel (B) Dato Paduka Haji Johari sambil diiringi nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan.

    Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera negara dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi 2023 kepada pemangku pegawai-pegawai Daerah Brunei dan Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

    Sejurus pengibaran bendera besar di ibu negara, Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam juga diadakan di keempat-empat daerah.

    Anggota Tentera Laut Diraja Brunei memberi tabik hormat selepas bendera besar dikibarkan di kawasan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara sempena bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pembawa bendera bersedia untuk upacara pengibaran bendera besar di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyerahkan bendera-bendera negara dan poster kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama menyerahkan bendera pada upacara di Daerah Brunei dan Muara. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLi
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim menyerahkan bendera kepada Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Haji Mohammad Azmi menyerahkan bendera kepada perwakilan di Daerah Belait.– GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Dato Seri Paduka Haji Sufian semasa menyerahkan bendera di Daerah Temburong. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyerahkan bendera pada upacara di Daerah Tutong.– GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis berlangsung di Kawasan Letak Kereta Jabatan Daerah Brunei dan Muara di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Di Daerah Belait, majlis berlangsung di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Mohammad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.

    Di Daerah Tutong pula, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong ialah Timbalan Menteri (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

    Manakala itu, di Daerah Temburong, majlis diadakan di kawasan Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.

    Majlis pengibaran bendera di setiap daerah berkenaan diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan dan disemarakkan dengan lagu patriotik.

    Kemudian, majlis disusuli dengan pengagihan bendera kepada para penghulu mukim, pemangku penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta perwakilan daripada kumpulan-kumpulan dan agensi kerajaan di setiap daerah.

    Berkibarnya bendera besar negara itu menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing bagi pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran dan bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai dan termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan sehingga 31 Julai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda