SEMPORNA, 24 OGOS – Amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah menjadi budaya dalam kehidupan rakyat kerana usia kemerdekaan negara mencecah 63 tahun.
Pegawai Daerah Semporna, Benedict Asmat berkata rakyat tidak perlu menunggu sehingga program sambutan Bulan Kebangsaan mahupun promosi kibar bendera, untuk mengibarkan Jalur Gemilang. “Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan serta kemerdekaan negara, pengibaran bendera Malaysia secara langsung mengajak orang di sekeliling untuk menjiwai erti kemerdekaan,” katanya ketika berucap merasmikan program merdeka @ komuniti dan kempen kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat daerah Semporna di sini, hari ini.
Semua pihak disarankan memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing, bangunan pejabat dan premis perniagaan serta pada kenderaan.
Dalam pada itu, katanya pihaknya sedia membantu Jabatan Penerangan menyemarakkan sambutan program Bulan Kebangsaan.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka berkata pelbagai acara diadakan termasuk acara dalam talian sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. – Bernama