Friday, February 21, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kibaran bendera besar tanda bermulanya HK-41

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bendera besar Negara Brunei Darussalam telah mula berkibar megah di pusat Bandar Seri Begawan yang menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK41) bagi 2025.

    Upacara menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam telah berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat di upacara tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025.

    Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda hadir selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir adalah Timbalan-timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Setiausaha-setiausaha Tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 serta ahli-ahli jawatankuasa lain.

    Upacara menyaksikan anggota-anggota Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei dan Pasukan Pembawa Bendera Benteng yang terdiri daripada pasukan Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kadet Polis Diraja Brunei, Kadet Bomba dan Penyelamat serta Alumni Program Khidmat Bakti Negara bergerak masuk bagi penyerahan dan penerimaan bendera besar Negara Brunei Darussalam daripada tetamu kehormat majlis.

    Perbarisan masuk.
    Tetamu kehormat menyerahkan bendera besar.
    Bendera besar Negara Brunei Darussalam telah sempurna dinaikkan dan dikibarkan.

    Penyempurnaan Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara telah diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan oleh kumpulan koir yang dianggotai oleh 41 penuntut dari Sekolah Seri Mulia Sarjana serta diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Upacara juga dimeriahkan dengan persembahan dua buah lagu patriotik Berkibarlah Bendera dan Bersatu Mencapai Cita Negara bersama kibaran bendera kecil oleh seramai 100 penuntut dari Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan Pandu Puteri Brunei Darussalam.

    Antara persembahan nyanyian lagu patriotik semasa acara berkenaan.

    Upacara akhirnya disempurnakan dengan penyampaian bendera-bendera negara bersaiz sederhana dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41 kepada pegawai-pegawai bagi keempat-empat daerah.

    Atas & Bawah: Antara acara penyampaian bendera dan poster oleh tetamu kehormat.
    Flag distibution to each district by guest of honour

    Dengan berkibarnya bendera besar negara, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah diseru untuk sama-sama mengibarkan bendera bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41 di rumah-rumah dan bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan serta pemasangan dan penyalaan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan kerajaan dan sektor swasta mulai 15 Februari sehingga 25 Februari.

    Setiap bendera yang dikibarkan hendaklah mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan baik, tidak pudar warnanya dan tidak koyak.

    Antara yang turut hadir semasa acara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda