Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kibarkan dengan megah bendera negara

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 21 Feb – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait telah meneruskan program Taklimat Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke Sekolah St Margaret, di sini, hari ini.

    Taklimat yang diadakan di dewan serba gunanya itu telah dihadiri lebih 60 orang dalam kalangan pelajar Tahun 7 dan guru-guru sekolah berkenaan.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’.

    Program tersebut merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan bagi menyemai semangat patriotisme kepada para belia untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

    Para pelajar kemudiannya mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Hisyam bin Idris selaku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait.

    Awang Mohammad Hisyam ketika menyampaikan taklimat kenegaraan di Sekolah St Margaret.
    Awang Mohammad Hisyam ketika menyampaikan taklimat kenegaraan di Sekolah St Margaret.
    Pelajar-pelajar Sekolah St Margaret ketika menyanyikan lagu kebangsaan semasa Taklimat Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
    Pelajar-pelajar Sekolah St Margaret ketika menyanyikan lagu kebangsaan semasa Taklimat Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Dalam taklimat tersebut, beliau antara lain menyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan terperinci.

    Taklimat itu juga diselitkan dengan penayangan klip video ‘Kibarkan Dengan Megah Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’,  selain para pelajar juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.

    Program tersebut kemudian diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan dan penyampaian cenderamata kepada pihak sekolah tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda