KOTA KINABALU, 25 APRIL – Kibing Group bakal membuka 700 lagi peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah melalui program pengambilan pekerja yang dijadual bermula Mei ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pengambilan baharu ini akan menjadikan jumlah rakyat Sabah yang bekerja dengan syarikat pengeluar kaca solar itu kepada 1,625 orang, merangkumi pelbagai jawatan dalam bidang pengurusan, kejuruteraan, teknikal dan operasi.
“Jumlah ini membentuk lebih 83 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Kumpulan Kibing. Perkembangan positif ini bukan sahaja memperkasakan komuniti tempatan, malah turut menyumbang kepada usaha memupuk kemakmuran bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga kerja Kibing Group di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini hari ini.
Hajiji berkata pengambilan pekerja baharu oleh Kibing Group akan dilaksanakan dengan kerjasama Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) bermula dari 13 hingga 23 Mei ini dengan proses pengambilan itu akan dijalankan di beberapa lokasi terpilih iaitu di Pejabat Daerah Ranau, Tuaran, Beaufort, Papar, Kota Kinabalu dan Penampang. – Bernama
