Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kicauan 200 ekor burung meriahkan pertandingan di Belait

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 21 JULAI – Pertandingan Nyanyian Burung Murai Peringkat Daerah Belait 2025 telah diadakan bersempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 di kawasan sekitar Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan kelmarin.

    Pertandingan yang melibatkan lebih daripada 200 ekor burung tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Pandan C dan persatuan Kicauan Unggas Fighter KB & Family dengan kerjasama Pejabat Daerah Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) merangkap Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.

    Beberapa hadiah cabutan bertuah turut disampaikan kepada peserta bertuah oleh ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat yang hadir memberikan sokongan kepada pertandingan tersebut.

    Dalam temu bual bersama Pemangku Ketua Kampung Pandan C, Awang Faiz Ariffin bin Haji Mohammad, beliau menjelaskan bahawa pertandingan tersebut merupakan satu platform untuk mengetengahkan minat dan hobi terhadap nyanyian burung selain menghargai keindahan kicauan oleh burung-burung tersebut.

    “Peserta mendaftarkan burung mereka mengikut enam kategori, termasuk Burung Murai Batu, Murai Kicau Kacir, Murai Batu Kepala Hitam dan Murai Batu Kepala Hitam. Burung-burung ini dinilai oleh panel juri dari Kicauan Unggas Fighter KB berdasarkan kicauan dan melodi yang dihasilkan,” ujar beliau.

    Tambah beliau lagi, lima belas ekor burung terbaik kemudiannya dipilih untuk bertanding dalam kategori Best of the Best di penghujung pertandingan tersebut.

    Beliau juga turut berharap pertandingan itu dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan peminat nyanyian burung yang berkongsi minat yang sama serta menggalakkan masyarakat untuk lebih menghargai, memelihara dan menjaga burung.

    Semua di atas: Antara suasana semasa pertandingan berkenaan.
    Awang Faiz Ariffin menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima.
    YB Awang Mohammad menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang penerima.
    YB Awang Mohammad dan jemputan melihat burung secara dekat.
    YB Awang Mohammad menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Best Of The Best.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda