Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kidd Santhe terkejut penyanyi rap ditahan seludup dadah

    Penyanyi rap Malaysia, Kidd Santhe mengakui terkejut apabila dimaklumkan rakan baiknya yang juga seorang rapper ditahan pihak berkuasa Laos atas cubaan menyeludup dadah.

    Menurut Kidd, sepanjang perkenalan mereka, individu berkenaan dikenali sebagai seorang komposer yang tekun berkarya serta mampu merakam banyak lagu dalam tempoh singkat.

    “Saya rasa sangat sedih ketika membaca laporan itu buat kali pertama. Memang sukar hendak percaya. Namun, saya sentiasa menyokong pihak pengurusan dan seluruh kru.

    Mereka boleh menghubungi saya pada bila-bila masa jika memerlukan bantuan.

    “Individu itu antara yang saya hormati kerana etika kerjanya. Bayangkan, dia mampu merakam banyak lagu dalam sehari. Memang ada arkib katalog yang besar,” katanya.

    Kidd Santhe terkejut rakan baiknya yang juga seorang rapper ditahan pihak berkuasa Laos atas cubaan menyeludup dadah. – Utusan Malaysia

    Kidd ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya, Ambani Money, baru-baru ini.

    Tambah Kidd, mereka bukan sahaja pernah berkolaborasi menerusi projek video muzik Penjahat, malah turut merancang untuk menghasilkan sebuah lagu bersama tahun ini.

    “Kami sudah berbincang melalui mesej. Sepatutnya saya pergi ke studionya untuk proses rakaman,” katanya.

    Bagaimanapun, Kidd enggan membuat penghakiman awal, sebaliknya percaya jika sahabatnya itu benar melakukan perbuatan berkenaan, pasti wujud alasan tersendiri.

    “Pada akhirnya, setiap orang membuat keputusan berdasarkan situasi mereka. Mungkin ketika itu dia berada dalam keadaan sukar, tambahan pula dia ada keluarga.

    “Kami tidak tahu apa yang seseorang terpaksa dilakukan. Kami tak boleh terus menghukum. Walaupun tindakan itu salah dan ada cara lebih baik, kami tidak tahu tekanan sebenar yang dihadapi,” katanya.

    Sementara itu, Kidd turut memberi contoh situasi terdesak yang mungkin mendorong seseorang membuat keputusan di luar jangkaan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda