SEOUL – Di sebuah taman tema permainan berperanan kanak-kanak di Seoul, Park Woo-joo, 23, menjalankan misi orang dewasa: graduan universiti namun menggangur di Korea Selatan itu berusaha mencari pekerjaan untuk masa depannya.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian global milik Mexico, KidZania biasanya menawarkan kanak-kanak peluang untuk mencuba pelbagai jenis pekerjaan, daripada anggota bomba hingga doktor gigi, di pusat-pusat indoor yang besar, termasuk satu di Seoul yang menerima ratusan ribu pengunjung setiap tahun.
Namun, KidZania Korea Selatan telah menggunakan kaedah baharu untuk cawangannya di Seoul iaitu membantu golongan muda mencari pekerjaan, memberikan nostalgia, sangat terkenal dan acara untuk orang dewasa sahaja.
Walaupun kekurangan tenaga kerja berkaitan dengan kadar kelahiran yang sangat rendah, pengangguran belia di Korea Selatan tetap tinggi – hasil daripada ketidaksesuaian antara belia berpendidikan tinggi dan realiti pasaran buruh negara, kata pakar.
Park mempunyai ijazah dalam bidang pentadbiran perniagaan tetapi belum dapat mencari pekerjaan yang diinginkannya, jadi bulan lalu dia adalah salah seorang daripada 500 pengunjung yang membeli tiket untuk acara Kids-ania yang habis dijual untuk orang dewasa – Ia adalah nama permainan kata dalam bahasa Korea yang pada dasarnya bermaksud ‘bukan kanak-kanak’.
Di taman tema yang luas itu, kelihatan orang berpakaian seperti pegawai polis dan hakim Mahkamah Agung berlakon di kawasan yang dibina khas, Park memberitahu AFP dia bersemangat untuk ‘menikmati pengalaman itu sebanyak mungkin’.
Dia berharap dengan mencuba pelbagai kerjaya yang berpotensi, dia mungkin mendapat idea yang jelas dan tepat mengenai apa yang sepatutnya dilakukan dalam hidupnya.
“Saya fikir ia cara yang baik untuk orang yang menganggur berseronok dan belajar pada masa yang sama,” katanya kepada AFP.
MENGIMBAU NOSTALGIA
Acara yang dikhaskan untuk para belia itu adalah idea asal Kang Jae-hyung, presiden KidZania Korea Selatan, yang memberitahu AFP bahawa dia mahu membantu golongan muda yang mungkin datang ke taman itu ketika ia mula dibuka pada 2010.
“Kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ketika pertama kali datang ke sini kini berusia 21 tahun,” kata Kang.
Rakan-rakannya skeptikal tentang idea itu dan dia pada mulanya menghadapi pelbagai cabaran katanya, tetapi tiket untuk acara pertama habis dijual dengan segera.
Kang berkata golongan belia di negara itu perlu memanfaatkan rasa keseronokan semula jadi mereka dan tidak menganggap kehidupan bekerja terlalu serius.
“Saya hanya mahu mereka mengingati apa yang mereka ingin lakukan semasa kecil,” kata Kang, sambil menambah ia adalah penting ‘untuk tidak memusnahkan impian kanak-kanak’.
Lee Soo-min, 20, mempunyai kenangan pergi ke KidZania dan berkata tempat itu kelihatan sama ketika dia kembali lebih 10 tahun kemudian.
“Tetapi nampaknya saya telah berubah,” katanya. Berdiri dalam barisan di studio radio untuk mencuba menjadi DJ, Lee, pelajar universiti berkata dia sedang mencari pekerjaan yang sesuai dengan minatnya memberitahu AFP: “Kini, saya cuba memanfaatkan pengalaman ini dengan serius.”
ASPIRASI VS REALITI
Dengan kadar kelahiran terendah di dunia, populasi Korea Selatan telah lama menyusut.
Populasi usia bekerja negara itu akan mula merosot dari 2028, menurut unjuran rasmi dan banyak sektor ekonomi, daripada pertanian hingga restoran dan rumah penjagaan, sudah menghadapi kekurangan tenaga kerja yang meluas, dengan imigresen sangat terhad.
Walaupun demikian, negara itu masih mempunyai kadar pengangguran belia yang tinggi, kini pada 6.2 peratus, lebih dua kali ganda kadar keseluruhan 2.9 peratus, menurut angka rasmi.
Bilangan golongan muda yang diklasifikasikan sebagai resting yakni tidak bekerja atau tidak aktif mencari kerja, mencapai 426,000 bulan lalu.
Ia adalah kadar kedua tertinggi sejak rekod bermula pada 2003. Kadar tertinggi adalah semasa pandemik.
Menurut pakar, punca masalah adalah disebabkan golongan muda di Korea Selatan lebih suka tidak bekerja berbanding bekerja dalam pekerjaan yang dianggap tidak popular atau di bawah taraf mereka.
Sebagai contoh, hampir separuh golongan muda di negara itu enggan berkecimpung dalam perusahaan kecil atau sederhana (PKS), menurut angka rasmi, walaupun perniagaan sedemikian membentuk kira-kira 98 peratus daripada ekonomi, dengan korporat terkenal seperti Samsung hanya 2 peratus.
Menurut salah seorang ahli penyelidik bersekutu di Perkhidmatan Maklumat Pekerjaan Korea, Hwang Gwang-hoon, berkata, “Ketidakselarasan antara aspirasi golongan muda berpendidikan tinggi dan realiti pasaran kerja secara beransur-ansur meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan belia berpendidikan tinggi.”
Korea Selatan telah beralih kepada automasi saluran pengeluaran dan juga CCTV untuk mengurangkan masalah buruh, contohnya, banyak kedai serbaneka kini tanpa pemandu, tetapi negara itu juga perlu mewujudkan lebih banyak ‘pekerjaan berkualiti’, kata Hwang, terutamanya dalam PKS.
Bagi Kang dari KidZania, golongan muda yang menganggur perlu melepaskan ketakutan dan rasa malu yang mungkin menghalang mereka dalam pasaran kerja.
“Lakukan apa yang anda mahu lakukan. Jangan rasa malu,” katanya. – AFP