Saturday, May 3, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kieran semakin sihat selepas jalani kimoterapi merawat kanser

    Selepas menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi akibat kanser prostat, keadaan kesihatan bekas penyampai radio Kieran mula menunjukkan perubahan positif.

    Kieran atau Maskiran Jakiran, 50, berkata, badannya tidak lagi terasa lemah malah merasai banyak perubahan terutamanya dalam menjalani rutin harian.

    Bagaimanapun kata Kieran, kesan kimoterapi tangan dan kakinya sudah tidak kuat seperti dahulu namun tetap bersyukur keadaannya semakin baik.

    “Selepas pembedahan dan kimoterapi, Alhamdulillah sel kanser semakin berkurangan tapi sakit-sakit itu masih ada. Cumanya saya ‘pura-pura’ kuat dan macho.

    “Waktu siang nampak okay tapi apabila malam berdenyut sana sini. Nak bangun pun terasa macam orang tua, tidak boleh mengejut terasa macam nak pitam.

    “Tangan saya bengkak selepas kimoterapi dan masih belum surut lagi, tak boleh pegang barang terlalu lama. Memandu pun tidak boleh jauh tapi kalau dalam Kuala Lumpur saya paksakan juga,” katanya kepada mStar.

    Kieran berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Terbaek Raya mStar yang diadakan di The Agam Kuala Lumpur pada Rabu.

    Berkongsi lanjut tentang keadaannya, Kieran memberitahu kehidupan hariannya kini agak membosankan disebabkan tidak boleh melakukan aktiviti lasak termasuk bersukan.

    Bagaimanapun kata Kieran, bagi mengurangkan rasa bosan, dia banyak membantu isteri berniaga kek.

    “Kalau dulu saya aktif bersukan, joging seminggu lima kali, main bola dan badminton dua kali seminggu tapi sekarang sudah setahun saya tak buat apa-apa.

    “Sekarang hidup saya sangat membosankan, duduk rumah saja. Kerja nak berdiri lama pun tak boleh, saya ikut isteri pergi jual kek sebab kalau buat lembik badan jadi ‘jem’,” kongsinya.

    Dia yang juga penerima sumbangan program mStar Baek musim ketiga memberitahu bersyukur atas bantuan diberikan kerana ia sedikit sebanyak dapat merigankan beban selepas setahun tidak berkerja.

    “Saya rasa ini inisiatif yang sangat baik, saya terima kad perubatan yang boleh digunakan sebanyak 12 kali rawatan.

    “Apa yang mereka beri ini sangat membantu kepada orang macam kami yang tiba-tiba ditimpa musibah. Terima kasih mStar dan KPJ,” luahnya.

    Kieran antara enam penerima mStar Baek pada musim ketiga dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad. – Agensi

    Kieran bersama isteri dan anaknya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda