Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Dalam usaha untuk memudahkan urusan pengurusan jenazah, serta menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti, Syarikat Pengurusan Kifayah Ar-Razzaq telah mengadakan projek kebajikan menerusi Program Bangkit dan Beri yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD), Kampung Manggis/Madang, baru-baru ini.
Program dimulakan dengan kehadiran para jemputan seawal 4:30 pagi, diikuti dengan menunaikan sembahyang Fardu Subuh berjemaah dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Kahfi.
Program seterusnya menyaksikan sesi pengagihan ‘pakaian di alam barzakh’ iaitu satu sumbangan amal berupa set kelengkapan jenazah yang disokong oleh Kumpulan Syarikat Mashoor kepada beberapa masjid yang terpilih dan diakhiri dengan sembahyang Sunat Duha berjemaah.
Adapun antara objektif program berkenaan diadakan adalah bagi sama-sama menekankan kepentingan menunaikan sembahyang Fardu Subuh berjemaah dan amalan berzikir selepasnya, selaras dengan hadis Rasulullah SAW tentang ganjaran menunaikan sembahyang Fardu Subuh dengan berjemaah.
Di samping itu, melalui pelaksanaan program berkenaan, ia juga dihasrat untuk memberi kemudahan individu, organisasi dan syarikat dalam sama-sama berkongsi rezeki menerusi amalan bersedekah dengan menyediakan bekalan asasi dan set kelengkapan jenazah kepada mereka yang memerlukan.