Di awal pembabitannya dalam dunia seni, nama Kilafairy sering dikaitkan dengan imej seksi dan berani. Namun siapalah kita untuk menghukum kerana hidayah itu sesungguhnya milik Allah SWT.
Bermula dengan perubahan secara perlahan-lahan dalam berpakaian pada awal tahun 2020, berkat doa ibu dan bapanya, Kila atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan tekad untuk berhijab sepenuhnya.
Mengakui dia kini merasa lebih tenang selepas berhijab, wanita berusia 29 tahun ini berharap mendapat keredaan Allah SWT dalam apa sahaja perkara yang dilakukannya.
“Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang. Paling penting, dalam apa jua perkara yang saya lakukan, saya buat kerana Allah SWT, kehidupan saya juga rasa lebih mudah.
“Saya tidak lagi mementingkan duniawi. Fokus saya adalah mengejar amal untuk bekalan selepas ini,” ujarnya membuka bicara kepada media.

Tambah anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu, apa yang diharapkan selepas ini adalah kekal istiqamah.
“Ramai suka dengan imej saya sekarang kini. Kalau ada pun yang beranggapan negatif, saya doakan mereka mendapat ketenangan hati.
“Bagi saya apa yang penting, adalah hubungan saya dengan Allah SWT,” jelasnya.
Akui Kilafairy, biarpun jarang kelihatan di kaca televisyen, namun rezekinya dalam bidang seni tidak pernah putus. Namun dia lebih selesa untuk kekal selektif dan mengutamakan kualiti dalam bekerja.
“Tawaran tak pernah putus macam air, syukur pada Allah. Cuma saya pilih mana yang sesuai sahaja.
“Insya Allah kalau keadaan semakin pulih, saya akan memulakan penggambaran muzik video lagu terbaharu saya.
“Lagu pop berjudul Ratu hasil ciptaan Shazee Ishak bersama Audi Mok itu sudah dirakamkan beberapa bulan lalu. Cuma disebabkan situasi semasa, proses untuk menyiapkan lagu ini jadi tertangguh.
“Saya juga sempat menyelesaikan satu penggambaran telefilem, cuma tak pasti bila ia akan ditayangkan,” katanya yang pernah membintangi filem Karak dan Blok 404.
Berkongsi perkembangan terkini, Kilafairy berkata, dia baru sahaja menjalinkan kerjasama dengan jenama produk kecantikan, UFORA. Jelas Kilafairy, pengasasnya, Supia Saupi, 28, memperkenalkan Skim Dropship Tanpa Modal menerusi penjualan produk lipsmate UFORA X KILAFAIRY. Ia sekali gus memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjana pendapatan tanpa modal.
Bercerita mengenai kerjasama itu, Kilafairy berkata, dia dihubungi Supia yang berminat untuk berkolaboratif.
Akui Kila, dia sendiri pada awalnya tidak yakin untuk bekerjasama dengan produk tempatan terutama rangkaian alat solekan kerana tidak pernah mencubanya. – Agensi