HELSINKI, 20 MAC – Sebuah syarikat China-Finland mengumumkan hari ini ia akan mula membina kilang bahan bateri di Finland pada April, yang pertama seumpamanya di negara Nordic.
Kilang itu akan menghasilkan bahan aktif katod, komponen utama dalam bateri litium-ion yang digunakan dalam kenderaan elektrik dan untuk penyimpanan tenaga, kata Easpring Finland New Materials, sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Finnish Minerals Group dan Beijing Easpring Material Technology.
Ia berkata pelaburan itu bernilai 800 juta euro (AS$868 juta).
Pengumuman itu dibuat seminggu selepas pemfailan muflis oleh pembuat bateri Sweden Northvolt, yang telah merancang untuk membangunkan pengeluaran katod tetapi menggugurkan rancangan tersebut untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran sel bateri kerana ia berjuang untuk terus hidup.
Easpring Finland New Materials berkata pengeluaran komersial dijangka bermula pada 2027.

Kilang itu, yang akan ditempatkan di Kotka di tenggara Finland, pada mulanya akan menghasilkan 60,000 tan bahan aktif katod setiap tahun.
Pada kapasiti pengeluaran penuh, ia boleh membekalkan bahan katod untuk pengeluaran sekitar 750,000 kenderaan elektrik setiap tahun, kata syarikat
itu.
Ketua Eksekutif Finnish Minerals Group, Matti Hietanen, berkata pelaburan itu mewujudkan jenis industri baharu sepenuhnya di Finland yang berkaitan dengan pengeluaran bateri litium-ion dan mewakili projek peneraju industri Eropah.
Loji baharu itu akan menggaji 270 orang dan kawasan seluas sekitar 80 hektar telah dikhaskan untuk pembinaannya. – AFP