Sunday, December 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kilang biskut guna logo halal tamat tempoh diserbu

    IPOH, 5 JULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melakukan serbuan terhadap sebuah kilang biskut di Taiping yang menggunakan sijil halal tamat tempoh, semalam.

    Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 10 pagi Rabu lepas itu melibatkan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Taiping.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kilang terbabit mengeluarkan produk dengan logo halal untuk diedarkan bagi jualan sekitar Semenanjung Malaysia dan Sabah.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas pemilik kilang mendapati sijil halal yang dimiliki telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui serta tindakan kes sudah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamalludin berkata pihaknya menyita kesemua 940 bungkusan produk pelbagai jenis, 1,800 pelekat serta bungkusan yang dicetak logo halal tidak sah dan beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.

    Kamalludin berkata nilai keseluruhan barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,422.80 dengan kes disiasat di bawah Perintah (8)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperakui mana-mana makanan itu adalah halal.

    “KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda